
KUALA LUMPUR, 24 Sept 2025 – Sebanyak 2.4 juta pemegang lesen memandu di Malaysia tidak layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah skim BUDI95 kerana lesen mereka diklasifikasikan tidak aktif setelah tamat lebih tiga tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa hanya lesen sah dan aktif diterima untuk tujuan kelayakan program tersebut.
“Dalam rekod JPJ, pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun masih dikira aktif, tetapi jika lebih daripada itu, ia automatik tidak aktif dan tidak layak,” katanya dalam sidang media.
Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan terdapat lebih setengah juta lesen luput dalam tempoh setahun, 219,092 dalam dua tahun, manakala 154,641 untuk tiga tahun. Kesemua masih dianggap aktif. Namun, sebanyak 2.4 juta lesen lain yang tamat lebih tiga tahun terkeluar daripada skim subsidi.
Langkah ini menimbulkan kebimbangan sama ada kerajaan menggunakan BUDI95 untuk menggalakkan pembaharuan lesen, termasuk dalam kalangan mereka yang jarang memandu.
Sejak pelaksanaan BUDI95, JPJ merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan lesen, dipercayai didorong oleh keperluan memastikan kelayakan menerima subsidi.
Bagi sebahagian rakyat, syarat ini dilihat membebankan terutama warga emas atau golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memperbaharui lesen segera.
“Subsidi sepatutnya membantu golongan B40. Tetapi kalau lesen mati terus hilang hak, ramai akan rasa terbeban,” kata seorang pemandu di ibu kota. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.