3 MP Kerajaan Gesa Tubuh RCI Siasat Perjanjian ART

KUALA LUMPUR, 13 NOV 25 – Tiga Ahli Parlimen kerajaan hari ini menggesa supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat secara menyeluruh segala aspek rundingan dan pelaksanaan Perjanjian Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Gesaan itu disuarakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pagi ini.

Menurut mereka, penubuhan RCI adalah penting bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan penuh dalam proses yang didakwa tidak dibincangkan secara terbuka sebelum perjanjian itu dimeterai.

“RCI akan membantu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap proses diplomasi dan perdagangan antarabangsa negara, serta memastikan tiada unsur paksaan atau pengaruh luar yang merugikan kepentingan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut turut menuntut agar kerajaan mendedahkan dokumen penuh perjanjian ART kepada Parlimen dan orang awam bagi membolehkan analisis serta perbahasan secara bebas dilakukan.

Mereka mendakwa perjanjian tersebut berisiko berat sebelah dan mungkin memberikan kelebihan tidak seimbang kepada Amerika Syarikat, terutama dalam hal melibatkan pertukaran teknologi, kawalan keselamatan siber, dan kedaulatan data.

“Malaysia perlu mengkaji semula semua peruntukan dalam ART yang boleh menjejaskan dasar ekonomi domestik atau mengikat negara dalam komitmen yang tidak sepatutnya,” tegas mereka.

Selain menubuhkan RCI, mereka turut mencadangkan agar kerajaan melantik panel bebas pakar undang-undang antarabangsa dan ekonomi perdagangan bagi menilai semula semua aspek perjanjian berkenaan.

Langkah itu, menurut mereka, akan membantu Malaysia mengelak daripada terperangkap dalam perangkap geopolitik kuasa besar, di samping memastikan setiap keputusan dasar dibuat berdasarkan kepentingan nasional jangka panjang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share