Ucapan Kosong Di Parlimen

Dalam Sidang Khas Parlimen semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan retorik lunak dan diplomasi tinggi ketika menyentuh isu besar — tarif timbalbalik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap produk eksport Malaysia.

Namun di sebalik nada diplomatik itu, ramai tertanya: di mana pelan tindakan sebenar? Di mana kejelasan kepimpinan?

Ucapan PMX yang menyentuh tentang pendekatan “bijaksana” dan “berlandaskan kepentingan rakyat” tidak disusuli dengan langkah konkrit.

Beliau tidak menjelaskan sektor mana yang paling terkesan, tidak memperincikan sebarang bentuk pampasan atau sokongan kepada penggiat industri, malah tidak menawarkan sebarang strategi pelbagai hala sekiranya rundingan dengan AS gagal. PMX seolah-olah tak buat ‘homework’.

Tatkala rakyat dan pemain industri menunggu solusi, PMX hanya menawar slogan.

Pengumuman bahawa AS menangguhkan tarif selama 90 hari seolah-olah dijadikan pencapaian besar. Realitinya, itu bukanlah kemenangan diplomatik, tetapi hanya ruang sementara — mungkin hanya belas kasihan Washington, bukan hasil kecekapan rundingan Malaysia.

Ketiadaan pelan B atau strategi jangka panjang sekiranya tarif tetap dilaksanakan membayangkan kelemahan kerajaan dalam merancang kebijakan luar yang berpaksikan kepentingan nasional sebenar.

Ketika Ahli Parlimen dari pelbagai blok menggesa penangguhan pelaksanaan pemotongan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik, PMX memilih untuk tidak menjawab. Dalam iklim ekonomi global yang tidak menentu, dengan tekanan daripada AS dan inflasi domestik yang masih belum reda, sikap berdiam diri ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab — ia juga menyinggung sensitiviti rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

Ucapan Anwar lebih menyerupai ceramah politik berbanding pembentangan dasar nasional. Bahasa yang digunakan terlalu abstrak dan penuh dengan idealisme, tanpa sebarang indikator keberhasilan (KPIs), kerangka masa, atau penglibatan kementerian berkaitan.

Apakah cukup sekadar berkata “kita akan runding” tanpa menjelaskan dengan siapa, bila, dan atas terma apa?

Sebagai pemimpin negara, tugas seorang Perdana Menteri bukan hanya untuk kelihatan berprinsip, tetapi untuk bertindak tegas. Dalam suasana krisis, ketegasan, ketelusan, dan kejelasan hala tuju adalah satu keperluan — bukan pilihan.

Ucapan semalam bukan sekadar satu peluang yang disia-siakan. Ia adalah cerminan kelemahan kepimpinan seorang perdana menteri yang lebih gemar beretorik berbanding memimpin. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Anwar Terbang Bersama Ego Dirinya

Ini adalah projek membina persepsi kepada rakyat menerusi siri-siri lawatan beliau ke luar negara. Persepsi yang dibina adalah nak menunjukkan bahawa pemimpin dunia mengiktiraf dirinya.
Read More
Total
0
Share