
Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneruskan satu lagi episod ‘Lawatan Dunia Madani’. Kali ini ke Itali, Perancis dan Brazil.
Sekalipun kita belum tahu berapa kos lawatan ini, tapi yang pasti ‘potensi’ pelaburan yang berbiliun-biliun akan diumumkan. Kita akan tunggu dan lihat.
Dari modus operandi ini, kita sebagai rakyat boleh mengagak apa naratif PMX dalam misi-misi lawatannya ke luar negara.
Ini adalah projek membina persepsi kepada rakyat menerusi siri-siri lawatan beliau ke luar negara. Persepsi yang dibina adalah nak menunjukkan bahawa pemimpin dunia mengiktiraf dirinya.
Seperti biasa juga, dalam lawatan ini akan ada wawancara bersama media di setiap negara itu, dan seperti biasa beliau akan memberi syarahan tentang idealismenya, tentang reformasinya, yang mana semua ini nak menggambarkan dirinya seorang reformis dunia.
Pada masa yang sama, apa jua kritikan rakyat atau pembangkang, beliau akan jawab lawatan ini sebagai misi untuk meningkatkan kerjasama pelaburan.
Tapi soalan sebenar yang rakyat mahu tanya ialah apa yang sebenarnya rakyat akan dapat dari semua lawatan ini? Adakah masalah peningkatan harga barang dapat diselesaikan? Adakah masalah kos sara hidup dapat distabilkan? Semua ini soalan-soalan asas yang rakyat mahukan.
Anwar suka memberi impresi bahawa beliau bukan perdana menteri biasa. Beliau adalah reformis, pemikir, negarawan sejati. Tapi selepas hampir dua tahun di Putrajaya, rakyat makin jelas satu perkara: semakin banyak beliau bercakap, semakin kabur hasilnya.
Gagasan Madani dibentang di forum-forum kelas pertama, tapi realiti kelas pekerja di Malaysia makin sesak. Dipentas antarabangsa, dia gambarkan reformasi sedang berjalan, tapi hakikatnya di negara kita, harga barang terus naik kesan peluasan SST. Isu integriti seperti SPRM dan Institusi Kehakiman, tidak selesai.
Sementara itu, PM kita sedang sibuk membina imej antarabangsa, mungkin mahu dilihat lebih besar daripada Mahathir, mungkin mahu dilihat setaraf Erdogan. Tetapi legasi sebenar tak dibina atas pentas rakyat.
Dalam forum-forum dunia, Anwar bercakap tentang “nilai”, “tadbir urus”, “integriti”, “reformasi”, yang hanya untuk memenuhi selera dan ego politiknya.
Kita tidak kata hubungan antarabangsa tidak penting, yang kita zahirkan ialah semua ini dibuat untuk membina imej diri, bukan untuk keperluan rakyat dan negara.
Anwar terbang untuk lawatan luar negara kali ini bersama ego dirinya. Beliau mungkin mahu dikenang sebagai pemimpin global. Tapi jika prestasi dalam negara terus begini, beliau hanya akan dikenang sebagai perdana menteri yang bercakap paling banyak, tapi gagal melaksana tugas. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.