Politik Reformasi Dalam Selimut Dinasti

Oleh : Azman Bijan

Ketika suara dari pelbagai cabang PKR mula menyuarakan cadangan agar Nurul Izzah Anwar diletakkan sebagai Timbalan Presiden parti, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya secara jujur: Adakah ini satu langkah memperkukuh reformasi, atau satu lagi bab dalam skrip pewarisan kuasa (Dinasti) keluarga yang dibungkus dengan retorik perubahan?

PKR diasaskan atas penolakan terhadap kronisme dan nepotisme. Ironinya, dua dekad selepas itu, legasi “reformasi” kini nampaknya sedang dipacak di bawah nama keluarga Anwar sendiri—bukan melalui merit, tetapi melalui sentimen dan sentralisasi kuasa.

Mari kita bercakap terus terang. Nurul Izzah bukan ahli biasa. Beliau adalah anak kepada Presiden parti merangkap Perdana Menteri.

Apabila banyak cabang “mencadangkan” beliau sebagai Timbalan Presiden, kita harus soal: adakah ini benar-benar suara akar umbi, atau langkah yang telah disusun rapi bagi mengabsahkan langkah penggantian kuasa dalam bentuk yang lebih ‘halus’?

Sebelum ini, PKR mengkritik UMNO kerana Mahathir melantik Mukhriz, Najib mewarisi legasi Tun Razak, dan PAS mengekalkan dinasti Tok Guru Nik Aziz. Hari ini, apakah bezanya PKR apabila anak Anwar sendiri diangkat ke kerusi nombor dua?

Jika Nurul Izzah menang tanpa pertandingan kelak, maka segala slogan tentang demokrasi dalaman dan perjuangan rakyat akan terdengar kosong, malah munafik.

Sokongan terhadap Nurul Izzah bukanlah kerana visi besar yang ditawarkan beliau. Tiada gagasan jelas yang diketengahkan sejak beliau melepaskan jawatan Naib Presiden dan menarik diri daripada gelanggang politik beberapa tahun lepas.

Yang ada hanyalah nostalgia, simpati, dan simbolisme “Puteri Reformasi” yang sudah lama kehilangan gigi politiknya.

Adakah PKR begitu ketandusan pemimpin berwibawa sehingga perlu mengitar semula nama legasi keluarga, tanpa mengira prestasi atau ketegasan dalam bersuara? Di mana Rafizi, Saifuddin Nasution, Amirudin Shari, atau calon-calon yang benar-benar membina kekuatan parti secara konsisten di lapangan?

Jika parti hanya memandang kepada nama keluarga, maka PKR bukan lagi gerakan reformasi, tetapi menjadi versi baharu parti feudalisme berjenama reformis.

Anwar Ibrahim kini berdepan dilema moral. Jika beliau menyokong langkah ini secara senyap, maka beliau akan dituduh menyusun pewarisan kuasa untuk anak sendiri—sesuatu yang beliau lawan sejak era Mahathir. Jika beliau membiarkannya berlaku tanpa menyatakan pendirian, beliau akan dilihat bacul untuk mempertahankan prinsip terhadap tekanan dalaman. Beliau akan dianggap mengamalkan ‘patriaki’.

Langkah ini pastinya akan membuka mata rakyat—terutamanya generasi muda yang sudah muak dengan politik elitis—akan terserlah. Rakyat tidak bodoh. Mereka melihat struktur. Mereka membaca simbol. Dan mereka tahu bila satu gerakan rakyat sudah mula berubah menjadi kelab eksklusif keluarga.

Menariknya demokrasi PKR ini – ramai pentaksub dari mereka yang rasional.

Azman Adalah Penyokong PH Yang Kecewa Pada Kerajaan Perpaduan

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share