
MELAKA | 3 Mei 26 – Penggerak Reset Hang Tuah Jaya, Hezri Sardi mendakwa gagasan “Rumah Bangsa” masih belum meyakinkan sebagai platform penyatuan politik kerana ia dilihat tidak menjawab keperluan sebenar untuk menyatukan parti-parti Melayu dalam satu gabungan yang lebih kukuh.
“Mengapa perlu diwujudkan Rumah Bangsa sedangkan keutamaan sebenar sepatutnya tertumpu kepada usaha menyatukan semua parti Melayu dalam satu gabungan yang lebih kukuh dan berkesan,” katanya ketika mengulas laporan media mengenai kekecewaan Khairy Jamaludin atas kurangnya sambutan terhadap Rumah Bangsa.
Hezri berkata, dari sudut pandang masyarakat, gagasan itu turut dilihat lebih cenderung memperkukuhkan kedudukan UMNO berbanding menjadi platform penyatuan yang benar-benar inklusif.
“Persepsi ini menimbulkan tanda tanya sama ada wujud agenda tertentu di sebalik perancangan Rumah Bangsa itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan ketika ini ialah membuka ruang kepada semua parti berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk duduk semeja dan membina kesepakatan bersama.
“Apa yang lebih penting ialah usaha penyatuan sebenar, bukan sekadar memperkenalkan gagasan baharu yang belum meyakinkan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, gagasan “Rumah Bangsa” turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik berhubung keberkesanannya sebagai platform penyatuan blok politik Melayu-Bumiputera. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.