
KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Seorang wakil rakyat Perikatan Nasional mempersoalkan pelantikan Datuk Abdul Kadir Mohd Din sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dakwanya turut berperanan dalam syarikat utiliti.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan turut meminta penjelasan kerajaan sama ada Abdul Kadir sudah melepaskan jawatan komersial yang disandangnya sebelum pelantikan tersebut.
“Seseorang yang berperanan sebagai pengawal selia tidak sepatutnya aktif secara komersil dalam syarikat yang di bawah seliaannya. Itu adalah etika asas untuk memastikan tadbir urus yang baik dan mengelakkan kolusi, korupsi dan kronisme.
“Adakah kerajaan tidak peduli tentang risiko konflik kepentingan apabila pengerusi SPAN juga terlibat secara aktif dalam syarikat yang berfungsi secara komersil dalam sektor yang dikawal selia oleh SPAN?,” soalnya, dalam kenyataan di media sosialnya.
Wan Saiful yang juga anggota majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, pelantikan itu juga menimbulkan persoalan memandangkan Abdul Kadir merupakan pengarah urusan syarikat pengurusan sisa Sacra Sol Sdn Bhd.
Malah, beliau juga dilaporkan merupakan penasihat kepada Ranhill Holdings Berhad yang mempunyai kaitan dengan Ranhill SAJ Sdn Bhd, iaitu syarikat yang nengendalikan perkhidmatan air negeri Johor.
“Saya ingin bertanya adakah Abdul Kadir telah melepaskan jawatan-jawatan lain?
“Kerajaan mesti segera menjelaskan adakah beliau telah melepaskan semua jawatan berkonflik sebelum memulakan tugas sebagai pengerusi SPAN,” katanya lagi.
Bekas ketua pegawai eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Abdul Kadir Mohd Din, menggantikan bekas anggota parlimen Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Dalam Siaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara di Facebook hari ini bagi mengucapkan tahniah kepada Abdul Kadir, Span berkata lantikan itu berkuat kuasa semalam. @politiko.my