
KUALA LUMPUR, 14 MEI 25 – Perkasa memberikan tempoh seminggu kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mencabut papan tanda nama jalan di kawasan pentadbiran mereka yang menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu.
Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali, berkata, sekiranya gagal, pertubuhan itu akan mengambil tindakan sendiri dan bersedia berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa demi mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Selepas tempoh seminggu nanti kalau tak cabut kita pakat ramai-ramai cabut, atau kita conteng ke.
“Nak tahan, tahanlah, kita sanggup terima apa sahaja tindakan pihak berkuasa, tetapi ambil tindakan terhadap pihak yang pasang papan tanda ini tanpa kebenaran. Barulah nak tangkap atau nak dakwa saya,” katanya, dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, Syed Hassan dilihat berada di satu kawasan yang menggunakan papan tanda nama jalan bertulisan Cina, yang menurutnya terletak di kawasan Kampung Bakar Arang dan Kampung Baru Nipah, Port Dickson.
“Ini kawasan perkampungan baru Cina. Tak faham Bahasa Melayu ke? Kalau tak faham Bahasa Melayu tak usah jadi rakyat Malaysia.
“Saya harap PBT cabut ni. Setiap papan tanda perlu ada kebenaran PBT, saya tunggu seminggu tindakan diambil oleh MPPD,” katanya.
Perkasa katanya akan membuat semakan semula di kawasan lain dan berhasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Malah, pihaknya menggesa Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengambil tindakan segera berikutan kawasan itu terletak di dalam kawasan Parlimen Port Dickson yang diwakilinya.
“Janganlah terlalu ambil hati nak undi biarkan bahasa kebangsaan disama taraf dengan bahasa lain, satu kawasan ini dah semua nama jalan Mandarin.
“Nanti di kawasan perkampungan India ada bahasa Tamil pula. Apa nak jadi dengan negara kita. Ini kawasan parlimen beliau.
“Janganlah terlalu harap undi bukan Melayu, main boleh sahaja…ada tuntutan pelbagai kaum kita turuti tapi hal bahasa, agama dah termaktub dalam Perlembagaan, mana perlu diutamakan. Kalau kita biarkan sedikit demi sedikit suatu hari nanti tidak ada bahasa Malaysia pun nama jalan,” kata Syed Hassan lagi. @politiko.my