
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 — PAS Melaka mengecam tuntutan DAP yang mahu pengagihan sama rata kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan menyifatkannya sebagai satu cubaan menghakis kuasa politik Melayu di negeri itu.
Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, tuntutan tersebut membayangkan keghairahan DAP untuk menguasai kerajaan negeri meskipun ketika ini mereka hanya memegang lima daripada 28 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.
“Kami memahami kemarahan rakan-rakan Umno yang melihat tindakan DAP ini sebagai tamak. Tuntutan 14 kerusi oleh DAP jelas menunjukkan niat mereka untuk menjadi kuasa dominan dalam kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini melaporkan bahawa sembilan cawangan DAP Melaka telah meluluskan resolusi strategi untuk pembahagian 14 kerusi kepada BN dan 14 kepada PH bagi menghadapi PRN Melaka ke-16 yang dijangka selewat-lewatnya hujung 2026.
Ahmad Bilal turut menyifatkan tuntutan itu sebagai kesinambungan agenda “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan DAP, yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak istimewa orang Melayu.
“Kami pernah bersama DAP satu ketika dahulu, dan kerana itu kami amat mengenali sikap sebenar mereka yang mahu menguasai, mengawal dan menjadi ‘abang besar’ dalam mana-mana pakatan,” ujarnya, merujuk kepada sejarah kerjasama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah berdasarkan prinsip menolak sebarang bentuk dominasi politik yang boleh melemahkan kuasa Melayu di tanah air sendiri.
Justeru, Ahmad Bilal menggesa Umno dan rakyat, khususnya kaum Melayu, agar tidak tunduk kepada tekanan politik DAP yang dilihat cuba menyamakan kedudukan tanpa mengambil kira realiti demografi dan kedudukan semasa kuasa politik di negeri bersejarah itu.
“Kita bimbang jika Umno tunduk kepada desakan ini, kuasa politik Melayu di Melaka akan terhakis, dan negeri ini mungkin mengalami nasib yang sama seperti Pulau Pinang,” katanya lagi. @politiko.my