PN Keluar Amaran: Pemimpin, Ahli Dilarang Serang Parti Komponen Secara Terbuka

KUALA LUMPUR | 13 Mei 26 – Perikatan Nasional (PN) mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti komponennya supaya tidak membuat kritikan secara terbuka terhadap mana-mana parti dalam gabungan itu secara sembarangan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang bentuk ketidakpuasan hati atau perselisihan pandangan tidak sepatutnya dilontarkan melalui media atau saluran awam kerana ia boleh menjejaskan keharmonian gabungan berkenaan.

Menurut beliau, semua isu dalaman perlu disalurkan menerusi saluran parti masing-masing sebelum dibawa untuk dibincangkan secara musyawarah di peringkat kepimpinan PN.

“Perikatan Nasional mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti-parti anggotanya supaya tidak membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono kepada mana-mana parti komponen PN lain sama ada melalui media mahupun saluran lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pendekatan terbaik ialah menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara dalaman demi memastikan kestabilan dan kesepaduan gabungan pembangkang itu terus terpelihara.

Dalam masa sama, Takiyuddin menegaskan kepimpinan PN kini mahu memberi fokus terhadap isu lebih besar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara, berbanding terheret dengan polemik dalaman.

“PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, segala masalah dalaman parti akan diuruskan secara lebih berkesan, bijaksana dan positif melalui mekanisme dalaman gabungan tersebut.

Kenyataan itu hadir ketika kebelakangan ini timbul beberapa kenyataan terbuka membabitkan pemimpin parti komponen PN yang dilihat saling berbalas pandangan berhubung isu dalaman dan hala tuju gabungan berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share