Oleh : Ghafar Mohamad

Kalau kerajaan tarik subsidi RON95, ini bukan sekadar keputusan ekonomi — ini keputusan yang menindas rakyat, yang sememangnya sudah cukup susah sekarang.
Rakyat tak minta lebih. Mereka cuma nak harga barang yang mampu beli, minyak yang tak menyeksa, dan hidup yang sedikit tenang.
Tapi kalau subsidi minyak pun nak ditarik, apa lagi yang tinggal untuk rakyat? Kerajaan tak belajar dari kesilapan ke?
Baru-baru ni bila subsidi diesel ditarik balik, harga barang naik mendadak. Ramai rakyat terkesan. Sekarang kalau RON95 pula naik, keadaan pasti jadi lebih parah.
Kos pengangkutan akan naik. Harga barang dapur naik. Harga servis pun naik.
Ini bukan andaian — ini realiti yang kita semua dah rasa sebelum ini. Bayangkan seorang ayah yang bawa Grab. Bila minyak naik, pendapatan makin kecil, tapi keperluan anak-anak tetap perlu ditanggung.
Bayangkan makcik yang jual kuih. Bila barang mentah mahal, dia terpaksa naikkan harga. Tapi pelanggan makin kurang sebab semua orang tengah ikat perut. Akhirnya, terpaksa tutup gerai.
Siapa nak bantu mereka? Kerajaan kata ini “rasionalisasi subsidi”, konon nak jaga ekonomi negara.
Tapi rakyat tengok, menteri tetap hidup mewah, projek besar tetap berjalan. Kenapa tak mula dari atas dulu? Potong gaji dan elaun menteri. Hapus pembaziran. Lawan rasuah.
Jangan jadikan rakyat mangsa kesilapan dan kelemahan urus tadbir kerajaan. Kalau betul nak bantu rakyat, jangan sentuh subsidi yang jadi pelindung hidup mereka.
Sebaliknya, tumpukan usaha untuk cipta lebih banyak peluang pekerjaan — bukan saja yang tetap, tapi juga sementara — agar rakyat ada pendapatan yang stabil dan bermaruah.
Takkan itu pun sebagai Kerajaan Madani tak mampu buat? Atau sibuk sangat kejar pujian luar sampai lupa janji pada rakyat sendiri?
RON95 tu bukan kemewahan. Ia keperluan harian rakyat. Kerajaan Madani kena ingat — Jangan khianati amanah yang diberi.
Kekalkan subsidi RON95. Jangan tambah beban rakyat. Negara ini milik semua, bukan milik golongan atasan sahaja.
Ghafar Mohamad – Prowaris