Oleh : Ahmad Azarul
Maka benarlah dakwaan bahawa DS Hamzah Zainuddin dipecat hanya kerana ingin menyatukan pemimpin Melayu dan membentuk satu barisan kepimpinan Melayu bagi memperkasakan kuasa politik orang Melayu kembali.
Persoalannya hari ini, adakah usaha penyatuan itu satu kesalahan sehingga menyebabkan BERSATU begitu marah?
Realitinya orang Melayu kini berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Orang Melayu menghadapi pelbagai masalah dari segi ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, hingga kepada kedudukan politik yang semakin terpecah-belah.
Dalam keadaan ini, perpecahan melayu hanya akan melemahkan lagi suara dan kekuatan kita.
Lebih membimbangkan lagi, suasana hubungan antara kaum hari ini juga semakin tegang. Isu-isu perkauman semakin mudah dipolitikkan, diperbesarkan di media sosial. Digunakan pula untuk meraih sokongan politik sempit.
Sedikit salah faham boleh menjadi besar, sedikit perbezaan boleh menjadi perbalahan.
Dalam keadaan begini, jika orang Melayu sendiri tidak bersatu, bagaimana kita mahu berdepan dengan tekanan dan cabaran yang datang dari pelbagai arah?
Perpecahan dalaman hanya membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan dan menentukan hala tuju tanpa mengambil kira kepentingan majoriti.
Kita perlu jujur melihat realiti hari ini. Hakikat wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan wujudnya persepsi bahawa terdapat pihak yang semakin berani mencabar perkara-perkara asas yang selama ini menjadi tunjang negara selama ini.
Sama ada persepsi itu tepat atau tidak, ianya tetap memberi kesan terhadap kestabilan masyarakat jika tidak ditangani dengan ‘wisdom’ daripada pemimpin sendiri.
Sebab itu, penyatuan Melayu bukan bermaksud menindas kaum lain atau menolak kepelbagaian. Sebaliknya, ia adalah usaha untuk memastikan wujud satu kekuatan yang stabil, matang, dan bertanggungjawab dalam menjaga keseimbangan negara.
Negara yang berbilang kaum memerlukan kestabilan, dan kestabilan itu hanya boleh dicapai jika setiap kelompok utama iaitu melayu mempunyai kekuatan dan kepimpinan yang jelas.
Apabila orang Melayu kuat dan bersatu, kita sebenarnya berada dalam posisi yang lebih baik untuk berlaku adil kepada semua. Tetapi apabila kita lemah dan berpecah, kita cenderung bertindak secara emosional dan mudah dipengaruhi oleh sentimen perkauman sempit.
Inilah yang akhirnya merosakkan keharmonian antara kaum.
Hari ini juga kita melihat bagaimana media sosial menjadi medan utama penyebaran sentimen perkauman. Fitnah, hasutan, dan naratif kebencian tersebar tanpa kawalan.
Tanpa kepimpinan yang kuat dan bersatu, masyarakat mudah terikut-ikut dengan emosi, bukannya fakta dan rasional.
Dalam masa yang sama, cabaran ekonomi semakin menekan. Peluang semakin berkurang dan persaingan semakin sengit. Jika orang Melayu terus berpecah, kita bukan sahaja kehilangan kuasa politik, tetapi juga gagal membina kekuatan ekonomi yang membangun demi generasi yang akan datang.
Sejarah telah banyak kali membuktikan bahawa apabila orang Melayu bersatu, kita mampu membina kekuatan, menstabilkan negara. Terutama dalam memastikan kepentingan rakyat terbela.
Tetapi apabila kita berpecah, kita menjadi lemah dan kelemahan itu tidak pernah memberikan manfaat kepada sesiapa waima kepada mereka yang bukan berbangsa melayu.
Jadi Melayu adalah tunjang kekuatan kepada negara ini. Ini tidak lagi boleh dipertikaikan.
Hari ini bukan masanya untuk ego, dendam, atau perebutan kuasa sesama sendiri. Rakyat di bawah melihat, menilai, dan semakin hilang keyakinan apabila pemimpin lebih sibuk berpolitik daripada menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
BERSATU sudahpun memecat DS Hamzah. Maka masih tidak berpuas hati?
Jika benar ada usaha untuk menyatukan Melayu, maka usaha itu sepatutnya dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya satu ancaman.
Kita perlukan keberanian untuk mengetepikan perbezaan, duduk semeja, dan mencari titik persamaan demi masa depan yang lebih stabil khususnya kepada orang melayu.
Akhirnya persoalan besar untuk kita semua, adakah kita mahu terus berpecah dalam keadaan dunia yang semakin mencabar dengan isu perkauman yang semakin sensitif dan ekonomi yang semakin menghimpit?
Atau kita memilih untuk bersatu, memperkukuh kekuatan, dan menjadi tonggak kestabilan negara. Bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua rakyat Malaysia?
Malah usaha DS Hamzah ini sepatutnya didukung oleh pimpinan Melayu bukannya disabotaj seperti memecat beliau daripada parti. BERSATU sepatutnya lebih memahami ini tetapi telah bertindak sebaliknya.
Jika ditanya “Ada apa dengan dakwaan Hamzah hingga beliau di pecat”? Maka anak cucu akan berkata “Kerana politik dendam yang tak kunjung padam”.
Ahmad Azarul, Aktivis Politik Generasi Muda
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.