
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming cuba menutup mulut rakyat berhubung isu MyKiosk yang semakin hangat diperkatakan.
Menurut Choo Seong, dakwaan rakyat mengenai banyak unit MyKiosk kosong, tiada penyewa, dan dalam keadaan uzur adalah benar, malah terdapat bukti harga pembinaan jauh lebih rendah daripada angka RM25,000 seunit yang didakwa kementerian.
“Ini bukan berita palsu. Kenapa Kor Ming marah apabila isu ini dibangkitkan rakyat? Mengapa pula mahu ‘mencari’ TikTokers dan individu yang bersuara? Adakah ini satu bentuk ugutan untuk menakutkan rakyat?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, MCA bertindak berdasarkan maklumat sahih yang diterima terus daripada rakyat dan hasil tinjauan sendiri di lapangan, bukan sekadar menyebar tuduhan tanpa asas.
Tambahnya, MCA hanya mahu kerajaan mengambil tindakan bagi mengelakkan projek MyKiosk menjadi projek gajah putih yang membazir wang pembayar cukai.
“Daripada 414 unit MyKiosk di Negeri Sembilan sepanjang 2023 dan 2024, hanya 250 digunakan. Malah Exco kerajaan negeri sendiri, J. Arul Kumar, turut mengakui perkara ini dan beri tempoh sebulan kepada PBT untuk isi kekosongan. Adakah ini juga dianggap berita palsu oleh Kor Ming?” soalnya.
Menurut dokumen tender bertarikh 28 Ogos 2023 yang didedahkan oleh DAP katanya, kos purata pembinaan MyKiosk adalah RM20,895.55, lebih tinggi daripada siling RM15,000 yang ditetapkan KPKT.
“Ini menimbulkan persoalan ke mana perginya lebihan hampir RM6,000 bagi setiap unit.
“Jika satu kiosk lebihan RM5,895.55, bayangkan jika 1,000 kiosk? Itu sudah mencecah jutaan ringgit duit rakyat. Kenapa tak cari pembekal yang tawar harga serendah RM12,800 seunit?” soal Choo Seong.
Beliau juga menyelar DAP yang menurutnya sebelum ini lantang melaungkan slogan “lawan rasuah” tetapi kini berdepan isu pengurusan dana awam yang dipersoalkan rakyat.
Sehubungan itu beliau menggesa Kor Ming supaya membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya memberi arahan dari pejabat, selaras dengan prinsip ketelusan yang sering dilaungkan DAP.
“Jangan ulang kes Teresa Kok yang didakwa tidak lapor bekas pegawainya kepada SPRM walaupun ada dakwaan penyelewengan. Jangan hanya bersuara ketika pembangkang tetapi membisu bila berkuasa,” tegasnya, merujuk bekas menteri DAP sebelum ini. @politiko.my