Gantung Rundingan Thailand-Kemboja Bukan Kegagalan Malaysia – Kata Wakil PN

KUALA LUMPUR, 13 NOV – Perikatan Nasional (PN) menegaskan tindakan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja tidak boleh dianggap sebagai kegagalan diplomasi Malaysia.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata keputusan Bangkok itu berpunca daripada tekanan politik dalaman dan isu keselamatan di sempadan, bukan kelemahan Malaysia sebagai pemudah cara.

“Letupan periuk api di wilayah Si Sa Ket yang mencederakan anggota tentera Thailand menjadi pencetus kepada keputusan itu. Namun dari segi diplomasi, ia bukan tanda kegagalan proses damai, sebaliknya langkah berjaga-jaga kerajaan Thailand,” katanya, seperti laporan Sinar Harian.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Malaysia hanya berperanan sebagai fasilitator berkecuali yang diiktiraf oleh kedua-dua negara sebelum penggantungan dibuat.

“Malaysia mesti kekal berprinsip, tidak berpihak dan meneruskan diplomasi senyap bagi mengekalkan kepercayaan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Beliau turut menolak dakwaan seorang bekas jeneral Thailand yang menuduh Malaysia sebagai ‘musuh dalam selimut Asean’, dan melihat tuduhan itu sebagai retorik politik domestik.

PN berpandangan penggantungan itu tidak mencalar kredibiliti Asean, sebaliknya menjadi ujian terhadap keupayaan blok serantau itu mengurus konflik secara diplomatik.

“Asean masih boleh memulihkan rundingan melalui penubuhan Panel Teknikal Bersama untuk menyiasat insiden periuk api dan menilai semula sempadan berdasarkan faktor keselamatan,” katanya.

Thailand menggantung gencatan senjata dan menuduh Kemboja menanam periuk api baharu di kawasan sempadan yang dipertikaikan. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share