
KUALA LUMPUR, 25 Mei 25 – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Yb Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menyatakan sokongan penuh terhadap agenda Konsensus Nasional yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Dato Seri Hamzah Zainuddin.
Bercakap menerusi kenyataannya di facebook, Mas Ermieyati berkata idea yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu merupakan kerangka besar untuk satu visi yang realistik untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia menerusi pembaikan menyeluruh terhadap struktur politik, ekonomi dan tadbir urus negara.
“Wanita Perikatan Nasional (PN) menyokong penuh idea Konsensus Nasional Baharu yang dilontarkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, yang merupakan kerangka besar untuk satu visi yang realistik untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia menerusi pembaikan menyeluruh terhadap struktur politik, ekonomi dan tadbir urus negara.
Menurutnya, konsensus nasional itu adalah bukti PN sentiasa memikirkan kepentingan negara ketika pihak-pihak lain sibuk mencatur politik dan jawatan.
“Konsensus Nasional Baharu yang bertunjangkan tiga teras utama iaitu, matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus penuh ihsan bagi menyatukan semua kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia, adalah bukti PN sentiasa memikirkan kepentingan negara ketika pihak-pihak lain dalam kerajaan sibuk mencatur politik dan bertelagah berebutkan jawatan.
Tambah Mas Ermieyati, negara ini sedang dalam persimpangan dimana rakyat berharap untuk melihat sebuah pentadbiran yang berintegriti, cekap dan berkaliber tetapi gagal dipenuhi.
“Bukti terbaharu adalah pemilihan PKR, parti pemerintah sarat dengan barah nepotisme.
“Jika ‘family planning’ dihalalkan dalam parti pemerintah, tiada jaminan nepotisme, kronisme serta salah guna kuasa tidak berlaku dalam kerajaan, bahkan sudah pun terjadi pelbagai isu libatkan intergriti memalit kerajaan Madani dan terkini isu MyKiosk.
Mas Ermieyati juga membayangkan bagaimana kerosakan besar yang kini berlaku oleh kerajaan Anwar dalam tempoh separuh penggal.
“Ia mesti dihentikan, kerana masa depan negara tidak boleh terus diperjudikan. Kita perlu ‘reset’ untuk membentuk suatu konsensus baharu yang lebih dipercayai dan diyakini rakyat. Ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Wanita Perikatan Nasional juga melihat Konsensus Nasional Baharu ini sebagai peluang penting untuk memperkasa wanita sebagai peneraju utama dalam agenda pemulihan negara.
“ Wanita bukan hanya sekadar penyokong di barisan belakang, tetapi pemegang amanah dalam pembentukan masa depan negara yang lebih adil, stabil dan berdaya saing. Ujarnya.
Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato Seri Hamzah Zainuddin telah memberi syarahan di forum ISEAS Yusof Ishak Institute.
Dalam ucapan bertajuk “Pandangan terhadap Landskap Politik Malaysia – Membina Konsensus Baharu”, Hamzah menegaskan yang PN sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat berdasarkan fakta dan kebenaran.
Hamzah yang mewakili barisan pembangkang Malaysia menyatakan kesediaan untuk memacu negara ke hadapan dengan membentangkan satu agenda komprehensif bagi membina konsensus nasional baharu yang lebih mampan dan inklusif dengan berteraskan kesejahteraan rakyat. @politiko.my