
Apabila kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) — ramai menjangkakan satu inisiatif untuk memperkemas pembangunan bandar.
Namun, selepas meneliti kandungan sebenar akta tersebut, apa yang kelihatan ialah sebuah rangka undang-undang yang memberi kuasa luar biasa kepada kerajaan pusat, melebihi sempadan tadbir urus yang wajar dalam sebuah negara persekutuan.
URA bukan sekadar satu akta biasa, apabila ia berkuatkua, ia akan mengambil alih fungsi merancang dan melaksanakan pembangunan di mana-mana kawasan yang diumumkan sebagai “strategik.”
Ini termasuk kuasa mencampuri bidang kuasa kerajaan negeri, mengambil alih tanah, mengawal pelan tempatan dan memintas pihak berkuasa tempatan — semuanya dengan justifikasi ‘pembangunan’.
Ironinya, kerajaan Perpaduan yang sebelum ini melaungkan reformasi, kini mengusulkan satu bentuk sentralisasi kuasa yang lebih agresif berbanding pentadbiran lalu.
Dengan satu perintah menteri, URA boleh “masuk” ke mana-mana kawasan, menamakan projek, meluluskan pelan, dan menyelaras pembangunan — tanpa perlu berunding secara telus dengan kerajaan negeri atau penduduk tempatan.
Kita telah melihat sebelum ini bagaimana kawasan bersejarah seperti Kampung Baru, Brickfields dan Petaling Street menjadi mangsa “pembangunan strategik” yang akhirnya lebih menguntungkan pemaju besar berbanding rakyat setempat.
Dengan URA, keupayaan untuk mengulangi senario ini menjadi lebih mudah — kini disokong oleh undang-undang.
Apakah makna federalisme jika kerajaan pusat boleh melangkaui kuasa negeri dalam urusan perancangan wilayah? Apakah makna kuasa kerajaan tempatan jika ahli majlis tidak lagi boleh menentukan masa depan kawasan mereka sendiri?
Kerajaan negeri — sama ada ditadbir Perikatan Nasional, GPS atau PH sendiri — wajar melihat implikasi besar ini. URA bukan hanya isu pembangkang menentang kerajaan. Ini soal prinsip dan kelangsungan hak autonomi yang dijamin oleh Perlembagaan terhadap rakyat dan negeri.
Lebih membimbangkan, tiada mekanisme semak dan imbang yang telus terhadap kuasa URA ini. Ahli lembaga dilantik, bukan dipilih. Kuasanya luas, tetapi pertanggungjawabannya kabur. Pampasan kepada pemilik tanah? Masih samar. Rujukan kepada komuniti tempatan? Tiada kewajipan yang jelas.
Pelik apabila suara-suara reformis dalam kerajaan mendiamkan diri, seolah-olah termakan retorik bahawa “kalau demi pembangunan, semuanya halal.” Seolah-olah ketelusan, konsultasi awam dan prinsip akauntabiliti kini menjadi barang mewah yang hanya dipakai ketika pembangkang.
Soalan yang harus dijawab oleh kerajaan hari ini: adakah Akta URA benar-benar untuk pembangunan lestari, atau sebenarnya untuk membuka ruang kepada konsolidasi kuasa politik dan ekonomi atas nama perancangan bandar?
Jika benar Malaysia mahu membina masa depan yang inklusif dan adil, proses pembangunan mesti berlaku dengan suara rakyat, bukan di sebalik pintu bilik lembaga agensi yang tidak dipilih rakyat. @analitiko