
KUALA LUMPUR | 1 Mei 26 — Perikatan Nasional (PN) menyifatkan cadangan kerajaan untuk memotong peruntukan operasi melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai langkah yang mengkhianati komitmen reformasi serta membebankan rakyat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan pemotongan berjumlah RM10 bilion daripada Bajet 2026 itu jelas menunjukkan kerajaan gagal menetapkan keutamaan, apabila sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan tinggi dijadikan sasaran.
“Enam bulan lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM46.5 bilion kepada KKM dan RM18.6 bilion untuk KPT sebagai bukti komitmen kepada reformasi. Namun hari ini, cadangan pemotongan sehingga lebih 6 peratus bagi KKM dan 12 peratus bagi KPT membuktikan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap konsistensi dasar kerajaan, malah berisiko memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi muda.
Takiyuddin berkata, sektor kesihatan ketika ini sudah berdepan tekanan tinggi, termasuk keperluan lebih RM6 bilion bagi bekalan ubat-ubatan dan hampir RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan serta naik taraf fasiliti.
“Pengurangan peruntukan hanya akan memburukkan keadaan sedia ada seperti tempoh menunggu yang panjang, kesesakan di hospital dan tekanan berterusan ke atas petugas kesihatan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pemotongan terhadap KPT akan menjejaskan penyelenggaraan infrastruktur pendidikan, menggugat kualiti pembelajaran serta mengancam peluang pelajar, khususnya golongan kurang berkemampuan yang bergantung kepada bantuan kewangan.
“Apabila dana dipotong, ia bukan sekadar angka di atas kertas. Ia memberi kesan kepada biasiswa, kemudahan kampus, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan kerajaan dalam melaksanakan disiplin fiskal yang disifatkan sebagai tidak seimbang.
“Jika kerajaan serius mahu berjimat, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha membanteras pembaziran, ketirisan dan perbelanjaan tidak perlu, bukannya mengorbankan sektor asas seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan supaya menarik balik cadangan pemotongan tersebut dan membentangkan pelan penjimatan yang lebih adil serta berfokus kepada kepentingan rakyat.
“Negara tidak akan mampu bergerak ke hadapan jika kesihatan awam terus tertekan dan masa depan generasi muda dipinggirkan hanya untuk menutup kelemahan pengurusan kewangan,” katanya.
Baru-baru ini, Perbendaharaan Malaysia mencadangkan pengurangan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM5.45 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi, sebagai sebahagian langkah penjimatan fiskal kerajaan.
Cadangan itu dikatakan sebagai usaha mengoptimumkan perbelanjaan awam, khususnya dalam konteks pengurusan kewangan negara yang lebih berdisiplin dan mampan.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.