Dasar Ekonomi Baharu Tidak Gagal, Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 28 MEI 25 – Kegagalan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju pada 2020 adalah disebabkan kekurangan idea dasar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri turut menepis dakwaan kononnya Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang digagaskan ketika pentadbirannya satu kegagalan.

“Dasar Ekonomi Baru bukan satu kegagalan. Kekurangan idea dan dasar yang menghalang Malaysia daripada menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

“Sebenarnya kita boleh lakukan lebih baik. Kita mempunyai sumber yang sangat banyak. Tetapi kita tidak menggunakan sumber-sumber ini sepenuhnya.

“Ia satu kerugian,” katanya, dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggunakan Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) sebagai contoh, yang mana peringkat awal pameran pada 1991 menunjukkan tiada syarikat tempatan berupaya menjadi pempamer untuk acara bertaraf dunia itu.

“Kita benar-benar telah mencapai kemajuan besar dalam bidang ini. Syarikat-syarikat Malaysia mempamerkan pelbagai jenis produk buatan tempatan. Kita dapati mereka menghasilkan dan menyelenggara pelbagai produk berteknologi tinggi.

“Mereka telah diperakui oleh pengeluar pelbagai jenis pesawat. Malah, mereka mampu mereka bentuk dan menghasilkan semua jenis komponen serta produk aeroangkasa,” katanya.

Negarawan itu berkata, kerajaan juga seharusnya memainkan peranan bagi membantu lebih banyak syarikat terlibat untuk membolehkan sektor aeroangkasa negara berkembang maju.

“Syarikat-syarikat ini menggaji ratusan jurutera yang berkelayakan. Malah, ramai daripada jurutera mereka telah dipelawa bekerja dengan syarikat asing. Dasar kerajaan membenarkan syarikat asing menubuhkan syarikat kejuruteraan di Malaysia yang dikendalikan oleh jurutera tempatan.

“Sesungguhnya LIMA telah berkembang jauh dalam industri aeroangkasa dan maritim. Jika kerajaan terus memberikan sokongan, kita boleh pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia juga berupaya beralih daripada eksport bahan mentah hasil bumi kepada barangan pengeluaran kilang.

“Perindustrian Malaysia telah berjaya. Dahulu, 80% daripada eksport kita terdiri daripada bahan mentah seperti getah, minyak sawit dan bijih timah. Hari ini, jika saya tidak silap, 80% daripada eksport kita adalah barangan keluaran kilang,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share