NGO Dakwa Kerajaan ‘Berdiam Diri’ Isu Penganjuran Program Promosi LBGTQ

KUALA LUMPUR, 31 Mei 25 – Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) terkilan kerana kerajaan didakwa mengambil sikap berdiam diri, susulan penganjuran program mempromosi LBGTQ oleh Pemuda Sosialis, seperti yang tular baru-baru ini.

Pengerusinya Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, sikap membisu tanpa sebarang kenyataan dari pihak kerajaan akan menghantar mesej yang salah seolah-olah kegiatan mempromosi LGBTQ boleh diterima atau dibiarkan berlaku di Malaysia.

“Kami amat terkilan dan runsing dengan sikap membisu serta kelonggaran yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa dan kerajaan hari ini dalam menangani isu sensitif dan penting ini.

“Keengganan untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap rancangan program yang jelas mencabar nilai-nilai asas negara ini dilihat sebagai satu pengabaian tanggungjawab dan ketidakprihatinan terhadap aspirasi majoriti rakyat Malaysia.

“Ia merupakan satu kegagalan mempertahankan kedaulatan undang-undang dan prinsip moral negara,”katanya, dalam satu kenyataan.

Tambah Bibi Sunita, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap penganjur selain membatalkan permit atau kelulusan bagi program yang mempromosikan LGBT itu kerana tidak memenuhi kriteria ketenteraman awam dan sensitiviti sosial.

Premis lokasi yang dicadangkan untuk menganjurkan program ini hendaklah diberikan amaran keras oleh pihak berkuasa agar tidak menyediakan ruang bagi aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan nilai masyarakat Malaysia, katanya.

“Kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan dan komitmen dalam mempertahankan prinsip negara dengan mengeluarkan kenyataan rasmi yang tegas dan jelas tanpa berlengah-lengah mengutuk program ini dan mengulangi pendirian tidak berkompromi negara bahawa kegiatan LGBT tidak diterima di Malaysia,” tambahnya.

Katanya, kegiatan LGBT adalah ancaman kepada keharmonian sosial, kestabilan negara, dan kemurnian akidah umat Islam serta nilai-nilai murni semua rakyat Malaysia.

“Membiarkan program seumpama ini berjalan adalah satu pengkhianatan terhadap perlembagaan dan prinsip asas negara kita,” katanya lagi.

Tular di media sosial baru-baru ini Pemuda Sosialis akan menganjurkan program “Queer Stories and Sexual Health Awareness”  di Petaling Jaya pada 21 Jun akan datang.

“Dasar dan prinsip kerajaan Malaysia secara konsisten menyatakan pendirian yang jelas bahawa LGBT tidak diterima dan tidak selari dengan identiti negara.” @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share