Geo Politik ASEAN : Myanmar Dan Ujian Kepada Keutuhan Asean?

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Rampasan kuasa oleh Tentera Myanmar (Tatmadaw) pada I Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi mencetuskan gelombang protes rakyat yang luas serta tindakan keras oleh pihak tentera.

ASEAN yang berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota menghadapi dilema besar.

Walaupun ASEAN mengadakan mesyuarat khas dengan segera yang menghasilkan Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus) pada April 2021 di mana pelaksanaannya tidak menunjukkan sebarang impak akibat keengganan junta tentera Myanmar memberi kerjasama.

Reaksi ASEAN ini menunjukkan keterikatan kepada prinsip geopolitik tradisional: menghormati kedaulatan negara dan mengelak daripada campur tangan langsung.

Namun tekanan antarabangsa dan keperluan untuk menjaga imej serantau memaksa ASEAN berinteraksi lebih aktif, walaupun dalam kerangka diplomasi yang amat berhati-hati.

Dalam hubungan ini saya menelitinya daripada perdekatan berbeza iaitu geopolitik ketamadunan.

Geopolitik ketamadunan membawa makna bahawa hubungan antarabangsa tidak hanya dipacu oleh kepentingan kuasa dan geografi semata-mata tetapi juga oleh nilai, sejarah, budaya dan prinsip ketamadunan yang dikongsi.

Dalam konteks ASEAN nilai-nilai Asia Tenggara seperti keharmonian, musyawarah dan konsensus sering dijadikan panduan tindakan kolektif.

Di samping itu geopolitik ketamadunan juga menuntut tanggungjawab moral terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan pencabulan prinsip demokrasi.

Dalam hal ini tindakan keras junta Myanmar terhadap rakyat sendiri boleh dianggap bertentangan dengan nilai-nilai luhur tamadun Asia Tenggara yang menjunjung keadilan, hormat terhadap nyawa manusia dan keamanan sosial.

ASEAN, dalam kerangka ini, perlu menilai semula makna “tidak campur tangan” apabila prinsip tersebut digunakan untuk menutup mata terhadap penderitaan rakyat dan kekejaman yang nyata.

dalam hubungan ini geopolitik ketamadunan menuntut pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan bermaruah.

Salah satu sebab utama kelemahan ASEAN dalam menangani isu Myanmar ialah ketiadaan kesepakatan yang kuat antara negara anggotanya.

Negara-negara seperti Indonesia dan Malaysia mengambil sikap lebih proaktif dan lantang dalam menggesa penyelesaian yang inklusif dan pengembalian demokrasi. Sebaliknya, negara seperti Thailand, Laos dan Kemboja lebih cenderung kepada pendekatan berkecuali atau bersifat realpolitik atas pertimbangan hubungan dua hala atau sensitiviti dalaman mereka sendiri.

Perbezaan pendekatan ini mencerminkan pertembungan antara geopolitik realisme dan idealisme ketamadunan.

Negara-negara yang lebih maju dari sudut kematangan politik dan kesedaran hak asasi cenderung menekankan nilai sejagat yang berakar dalam prinsip ketamadunan manakala yang lain lebih mempertahankan status quo geopolitik demi kestabilan rejim masing-masing.

Bagi menangani krisis seperti di Myanmar secara lebih berkesan, ASEAN perlu memperkuat institusi dan mekanisme pelaksanaan dasar luar bersama. Konsensus tidak boleh dijadikan alasan untuk kelesuan tindakan.

Di sinilah geopolitik ketamadunan memainkan peranan penting dalam merumuskan dasar yang bukan sahaja berpaksikan kepentingan politik, tetapi juga nilai dan moral kemanusiaan.

ASEAN perlu mempertimbangkan reformasi ke arah mekanisme penguatkuasaan hak asasi dan demokrasi serantau.

Meskipun sukar dalam konteks kepelbagaian politik negara anggotanya, namun pendekatan ini akan memartabatkan ASEAN sebagai entiti tamadun yang bermaruah di mata dunia.

Selain itu penglibatan masyarakat madani, cendekiawan dan pemimpin agama serantau boleh memainkan peranan penting dalam menyemai nilai kemanusiaan dan keadilan dalam kerangka tindakan ASEAN.

Peradaban Asia Tenggara mempunyai sejarah panjang dalam menjunjung kebajikan rakyat, dan nilai ini harus diangkat kembali dalam menghadapi cabaran moden.

Isu Myanmar merupakan ujian kepada keupayaan ASEAN untuk bertindak tegas dan bermaruah dalam menghadapi krisis dalaman anggotanya.

Dari perspektif geopolitik ketamadunan, ASEAN harus melangkaui pendekatan neutral yang kaku dan menggantinya dengan tindakan yang berpaksikan nilai ketamadunan, seperti keadilan, hormat terhadap kehidupan dan keamanan sejagat.

Sekiranya ASEAN gagal mengambil langkah yang berprinsip dan berani, ia bukan sahaja menjejaskan imejnya sebagai organisasi serantau malah mendedahkan kelemahan struktur geopolitiknya yang selama ini terlalu bergantung kepada kesepakatan minimum tanpa keberanian moral.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Tan Sri Muhyiddin Yasin Punca Penyatuan Ummah Tidak Tercapai

Saya berpendapat bahawa Tan Sri Muhyiddin sebenarnya tidak mampu, malah mungkin juga tidak benar-benar mahu melihat penyatuan ini berlaku. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, tidak kelihatan satu pun usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kerjasama yang baik antara tiga parti besar orang Melayu iaitu Bersatu, PAS dan UMNO.
Read More
Total
0
Share