Konsep Rumah Bangsa sebenarnya bukanlah gagasan baharu, sebaliknya merupakan model yang pernah diketengahkan melalui gabungan payung besar Melayu dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), namun dengan imej parti dan tokoh yang berbeza sebagai peneraju.
Sebelum ini, UMNO tidak bersama dalam kedua-dua gabungan politik Melayu tersebut. Namun kini, parti itu dilihat berhasrat untuk menerajui gabungan parti-parti Melayu melalui pendekatan yang hampir sama.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada inisiatif tersebut benar-benar lahir daripada keikhlasan politik, ataupun sekadar usaha untuk mendapatkan semula kepercayaan serta keyakinan masyarakat Melayu terhadap UMNO menjelang pilihan raya akan datang, khususnya Pilihan Raya Negeri Melaka yang bakal berlangsung.
Sebagai bekas ahli UMNO, saya secara peribadi tidak berminat untuk kembali menyertai parti tersebut. Hal ini kerana prinsip “No PKR” dan “No DAP” yang pernah diputuskan sebelum ini tidak dilaksanakan secara konsisten. Justeru, agenda Rumah Bangsa pada ketika ini kelihatan lebih menyerupai retorik politik semata-mata.
Sekiranya UMNO benar-benar berhasrat untuk mengembalikan kekuatan politik Melayu serta memperkukuh sokongan masyarakat Melayu, langkah awal yang lebih meyakinkan adalah dengan menilai semula kedudukan kerajaan-kerajaan negeri, khususnya di Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Pada masa ini, realitinya menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional dilihat semakin sebati dengan Pakatan Harapan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah turut tercermin dalam kerjasama di peringkat negeri.
Dalam keadaan sedemikian, timbul persoalan rasional, apakah justifikasi bagi masyarakat Melayu untuk mengembalikan sokongan kepada UMNO sekiranya sokongan tersebut akhirnya memperkukuh kedudukan PKR, DAP dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
Mohamad Shafiq Bin Abdul Halim, Aktivis Politik. Komentar ini telah disiarkan di laman facebook beliau pada 10 Mac 26
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.