Lompatan Tengku Zafrul Beri Kesan Perpaduan Kerajaan Madani, Kata Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 2 Jun 25 – Tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz memilih untuk menyertai PKR dengan meninggalkan Umno akan memberikan kesan kepada parti dalam kerajaan perpaduan.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, tindakan Tengku Zafrul itu mencetuskan spekulasi memandangkan berlaku hampir serentak dengan perletakan jawatan Datuk Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan menteri ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melepas jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Hakikat bahawa Tengku Zafrul memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Umno dan menawarkan diri kepada PKR berlaku hampir serentak dengan peletakan jawatan Kabinet oleh Rafizi dan Nik Nazmi menyebabkan banyak orang nampak ada udang di sebalik batu dalam tindakan beliau itu.

“Kesimpulannya, setakat ini, sedikit sebanyak tindakan Tengku Zafrul telah memberi kesan kepada kerajaan perpaduan Malaysia Madani, khususnya bersabit amalan lompat parti yang sedang cuba disekat.

“Apatah lagi apabila ia melibatkan parti perdana menteri dan timbalan perdana menteri; antara guru dengan murid. Kita tunggu babak seterusnya,” katanya, dalam satu kenyataan.

Namun katanya, wujud  bermacam-macam ramalan liar dan teori konspirasi mengenai tindakan Tengku Zafrul termasuk kononnya kurang yakin dengan kepemimpinan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah janjikan sesuatu yang lebih baik.

“Akibatnya, timbullah spekulasi yang satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Selangor akan diorkestrasikan bagi membolehkan beliau menang mudah dan seterusnya dilantik menjadi menteri besar.

“Ini menyebabkan beberapa pihak dalam PKR, termasuk Menteri Besar yang ada sekarang, Datuk Seri Amirudin Shari, kepanasan dan menafikan spekulasi itu,” tambahnya.

Kadir bagaimanapun berkata, Tengku Zafrul sendiri bukanlah tangkapan besar bagi PKR.

“Sebaliknya membantu meringankan beban Umno memandangkan banyaknya cerita campur tangan luar bersabit kemasukan beliau  dalam politik dan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2020,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share