Waytha Moorthy Tulis Surat Seru Pemimpin Parti Komponen Tinggalkan Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 25 — Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waythamoorthy menulis surat terbuka kepada pemimpin parti politik yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memikirkan semula kedudukan mereka dan mempertimbangkan untuk meninggalkan kerajaan perpaduan.

Dalam surat terbuka kepada ketua parti itu, Waythamoorthy mendakwa Anwar mengelirukan mereka untuk mempercayai pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berhak menjadi calon perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tindakan yang betul adalah amat jelas. Jika perdana menteri enggan meletakkan jawatan, maka atas prinsip, dan selaras dengan sumpah YB untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, YB mesti meletakkan jawatan daripada Kabinet,” katanya, dalam surat tersebut.

Surat itu ditujukan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Hajiji Nor, serta setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

“Setiap daripada anda kini berada di persimpangan jalan. Adakah anda akan terus berdiri di belakang individu yang telah hilang kredibiliti dan yang telah mengelirukan negara pada saat yang paling penting?

“Atau adakah anda akan mengambil pendirian berprinsip dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menghormati sumpah jawatan anda sebagai ahli parlimen dan sebagai anggota kabinet?” kata  peguam itu.

Waythamoorthy sebelum ini memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai ahli parlimen dan perdana menteri adalah tidak berperlembagaan.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau memohon pengisytiharan kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli parlimen “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) bagaimanapun mengeluarkan kenyataan mengatakan tidak timbul isu Anwar hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan perdana menteri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share