
KUALA LUMPUR, 4 Jun 25 – Satu kumpulan yang menggelar diri sebagai Sekretariat Tanahair (STAR) tampil dan mengecam keras kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berhubung cadangan agar Petronas menyerahkan 30 pertaus ekuitinya kepada Sarawak.
Setiausaha STAR, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata bahawa cadangan tersebut bukan sahaja sahaja bertentangan dengan asas Perlembagaan dan undang-undang negara, malah merupakan ancaman terhadap kedaulatan ekonomi negara.
“Cadangan ini bukan sahaja bertentangan dengan asas Perlembagaan dan undang-undang negara, malah merupakan ancaman terang-terangan terhadap kedaulatan ekonomi nasional serta semangat federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.
Cadangan untuk menyerahkan 30% ekuiti PETRONAS kepada mana-mana negeri bukan sahaja akan menghakis keupayaan fiskal kerajaan pusat, tetapi juga membuka jalan kepada perebutan kuasa antara negeri, seterusnya mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Tindakan ini berpotensi mengundang fragmentasi kuasa yang merosakkan kerangka federalisme dan menggugat kedaulatan ekonomi Malaysia. Katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Armin, antara perkara yang turut menjadi kebimbangan adalah reputasi Chong Chieng Jen sendiri yang sering mempertikaikan isu-isu nasional.
“YB Chong Chieng Jen bukanlah tokoh asing dalam barisan politikus yang mempunyai sejarah panjang mengeluarkan kenyataan berbaur anti-nasionalis, mempersoalkan institusi-institusi Persekutuan dan dasar-dasar nasional.
“Beliau pernah mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan, menyoal kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta secara konsisten mencabar hak-hak istimewa Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan.
“Di bawah agenda politik sempit yang diselubungi retorik “hak negeri”, beliau sebenarnya berusaha melemahkan kuasa pusat dan membuka ruang kepada penghakisan keutuhan nasional.
“Kenyataan beliau kali ini hanyalah satu lagi episod dalam siri cubaan sistematik untuk merobek asas kenegaraan Malaysia. Kata Armin.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen mencadangkan agar Petronas memberikan 30% penyertaan ekuiti kepada Sarawak kerana sebahagian besar sumber galian itu diperolehi dari negeri bumi kenyalang itu
“Saya telah membuat cadangan ini di Parlimen, begitu juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kini terpulang kepada kerajaan untuk melakukan rundingan kerajaan dengan kerajaan bagi merealisasikannya,” katanya. @politiko.my