Keputusan Rayuan Syed Saddiq Diketahui Esok

KUALA LUMPUR, 24 Jun 25 – Esok merupakan tarikh bagi mendengar keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, terhadap sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Parti Muda dalam kenyataan menerusi laman X berkata, parti MUDA akan bersoladiriti bersama mantan presiden parti itu di mahkamah, esok.

Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada jam 9 pagi.

Barisan peguam Syed Saddiq dan pendakwaraya telah selesai memberi hujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lalu.

Untuk rekod, pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share