
KUALA LUMPUR, 24 JUN 25 – Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub menyuarakan kebimbangannya Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) bakal mengulangi sejarah kegagalan RM100 bilion Melaka Gateway dan Pulau Melaka Twin City.
Yadzil berkata, pembangunan projek itu yang digambarkan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri mengundang terlalu banyak persoalan dari segi ketelusan, kesan kepada rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, dengan keluasan penambakan laut melebihi 1,100 hektar merentasi 33 kilometer garis pantai, SM-WEZ berpotensi mengubah lanskap fizikal dan sosial Melaka secara menyeluruh.
Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) katanya menunjukkan risiko banjir akibat perubahan sistem saliran, selain impak besar terhadap hutan bakau dan biodiversiti laut termasuk penyu karah yang hampir pupus.
“Adakah kerajaan negeri bersedia menanggung akibat undang-undang dan sosial sekiranya projek ini mengakibatkan malapetaka banjir dan pemusnahan habitat semula jadi secara kekal?,” katanya, dalam satu kenyataan.
Yadzil berkata, laporan EIA sendiri menjangkakan kerugian tahunan lebih RM12 juta ke atas nelayan kecil akibat gangguan habitat marin dan kenaikan kos operasi.
Tambahnya, pengalaman RM100 Bilion Melaka Gateway dan Pulau Melaka Twin City seharusnya menjadi iktibar dan tidak wajar berulang dengan projek WM-WEZ tersebut.
“Kedua-duanya terbengkalai dan menjejaskan keyakinan pelabur.
“Angka pelaburan RM100 bilion bagi SM-WEZ kini kelihatan tidak lebih dari retorik politik—tanpa penjelasan tentang komposisi pelaburan, sumber pelaburan langsung asing sebenar atau jadual pelaksanaan yang boleh diteliti secara fiskal,” katanya.
Beliau sehubungan itu mencadangkan satu moratorium pembangunan perlu digubal ke atas semua kawasan dalam zon warisan dan lokasi sensitif alam sekitar sehingga semakan semula Pelan Struktur Melaka dilaksanakan secara menyeluruh dan berpaksikan prinsip pembangunan mampan.
“Sebagai ketua pembangkang DUN Melaka, saya menegaskan bahawa kemajuan tidak harus datang dengan harga yang tidak tertanggung oleh rakyat dan alam sekitar,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.