
KUALA LUMPUR | 18 Feb 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan penarikan semula permohonan rayuan terhadap notis penggantungan keahlian beliau dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 16 Februari 2026 yang dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti, Azhar Harun.
Dalam surat berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan beliau tidak lagi berminat untuk meneruskan rayuan terhadap notis penggantungan tersebut. Keputusan itu, menurutnya, dibuat susulan hilangnya kepercayaan terhadap matlamat perjuangan parti serta kelemahan dalam amalan tadbir urus yang baik dan adil (good governance).
Beliau turut merujuk kepada surat rayuan terdahulu bertarikh 24 Disember 2025 serta prosiding rayuan yang berlangsung pada 3 Februari 2026 di Ibu Pejabat BERSATU.
Dalam masa sama, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan bahawa beliau adalah antara 17 pimpinan parti yang dipecat bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 13 Februari lalu. Tindakan tersebut, katanya, dilihat sebagai satu bentuk penyingkiran beramai-ramai yang dilakukan oleh pihak tertentu yang merasakan kedudukan mereka tergugat.
Beliau menjadi ahli ke tiga selepas Datuk Wan Saiful dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang turut menarik semula rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Dengan perkembangan ini, proses rasmi parti telah berakhir untuk mereka bertiga dan ini bermakna mereka kekal sebagai Ahli Parlimen bebas. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.