Hamzah Garis 3 Teras Untuk Angkat Konsensus Nasional Baharu

KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Ketua Pembangkang, Dato Sri Hamzah Zainuddin menggariskan tiga perkara asas yang perlu untuk mengangkat agenda Konsensus Nasional Baharu yang dikemukakan olehnya ketika syarahan di ISEAS bulan lalu.

Menurutnya, tiga kerangka asas iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan keprihatinan dalam tadbir urus kerajaan.

“Ia mesti dibangunkan melalui tiga perkara asas kerana setiap daripadanya memberi pengertian besar kepada semua. Yang pertamanya, kita mesti ada matlamat sama kerana matlamat ini mesti semua orang bersetuju.

“Keduanya, kalau itu sahaja matlamatnya, tidak juga boleh dicapai kerana kita juga mesti ada kekayaan yang boleh dikongsi bersama. Kalau itu boleh kita capai, boleh diterima semua orang luar, negara kita bukan hanya maju, tetapi juga makmur yang boleh dikongsi bersama.

Dan yang ketiga adalah mesti ada keprihatinan dari segi pentadbiran untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang semua dasarnya itu, semua struktur pentadbiran, semua institusi yang ada dalam negara memberi satu matlamat keprihatinan untuk rakyat. Ujarnya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, semalam.

Tambah beliau, Konsensus Nasional Baharu ini lahir dari isu besar iaitu hakisan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Ayatnya adalah trust deficit . Maka, saya mencari jalan bagaimana cara kembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Itulah yang akhirnya saya dapat satu kertas yang boleh dibincangkan bahawa Konsensus Nasional Baharu ini boleh dijadikan sesuatu yang dipertanggungjawabkan supaya kita semua dapat hidup aman.

Tambah beliau, usaha seperti ini telah bermula ketika era Tun Abdul Razak Hussein, untuk menjadikan semua bangsa, kaum yang ada dalam negara mempunyai satu matlamat iaitu untuk membantu kerajaan.

“Itulah reset pertama yang dilakukan, melalui parti-parti tadi ditubuhkan Barisan Nasional, ada UMNO, MIC, Pas, Gerakan, digabungkan dalam satu nama.

“Di situ semua kaum ada konsensus. Ia bermula daripada majoriti tadi, UMNO-Pas ketika itu bergabung, akhirnya ia menjadi satu kekuatan untuk negara.

“Bila majoriti tidak berpecah, maka parti-parti lain yakin dan percaya politik ini akan stabil. Penerimaan semua kaum, tidak kira agama dan bangsa dan yang pentingnya adalah membangunkan negara lebih makmur dan kita boleh kongsikan bersama. Tegasnya.

Mengimbau sejarah, Hamzah berkata ketika rakyat berusaha untuk mencapai kemerdekaan dan menentang Malayan Union, majoriti rakyat telah bergabung dan akhirnya berjaya.

“Apabila kita mahu capai kemerdekaan, bagaimana kita boleh berjaya? Kejayaan itu adalah apabila majoriti tadi, benar-benar bergabung untuk menentang Malayan Union dan akhirnya kita merdeka. Di situ saya nampak yang majoriti itu mesti bersatu.

“Selepas itu, keluarlah macam-macam polisi, Dasar Ekonomi Baharu dan macam-macam sehingga mudah sangat orang bukan Melayu berkongsi dengan Melayu. Itu perkara biasa ketika itu. Kalau Orang Melayu hendak cari pasangan dia tidak kira sama ada orang itu Melayu atau tidak. Yang mereka tahu we can do something together . Akhirnya negara kita menuju era kemakmuran sehingga kita dikenali sebagai Asian Tiger. Katanya.

Beliau menegeaskan, apabila orang Melayu berpecah, maka konsensus telah tidak ada lagi.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan PKR, orang Melayu majoriti berpecah kembali, majoriti tadi sudah tidak majoriti lagi, maka tidak ada lagi konsensus.

“Masing-masing ada pemikiran tersendiri untuk bawa agenda masing-masing. Jadi, bagaimana caranya untuk keluar? Hanya apabila majoriti tadi bergabung semula menjadi kekuatan demi kepentingan negara untuk semua pihak. Ujarnya.

Bulan lalu, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu telah menyampaikan syarahan di pentas seminar Institut Iseas–Yusof Ishak dan memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional Baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share