
KUALA LUMPUR, 15 JUL 25 – PAS dilihat konsisten untuk menstruktur semula pentadbiran Perikatan Nasional (PN) melalui penubuhan Majlis Presiden gabungan pembangkang.
Selepas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada April, untuk PN menambahbaik organisasi PN, Sayap Pemuda PAS Terengganu dalam muktamar pada Julai ini turut meluluskan usul tersebut selepas ianya dibawa Pemuda PAS Dungun.
“Struktur pentadbiran PN disemak semula dan diperbaharui dengan mewujudkan suatu Majlis Presiden yang terdiri daripada semua presiden parti-parti komponen PN sebagai badan tertinggi dalam membuat dasar dan keputusan strategik gabungan demi prinsip syura, muafakat, dan keadilan dalam kepimpinan PN,” kata usul yang diluluskan tersebut.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin minggu lalu turut sekali lagi menyuarakan cadangan tersebut.
Ahli Parlimen Jerantut berkata, ia merupakan syor PAS dalam usaha untuk menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran PN dan Bersatu juga maklum dengan perkara itu
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, kemudian menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang baru kerana Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkannya pada 2020.
Cadangan itu juga katanya sudah dipersetujui dan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.