Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jejaskan Ribuan Pesawah

KUALA LUMPUR, 1 Jul 25 – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) membantah cadangan kerajaan meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 kerana dikhuatiri menjejaskan tradisi membabitkan proses benih padi  pesawah.

Pengerusi Pesawah Abdul Rashid Yob menegaskan, langkah ini akan memberi kesan buruk terhadap hak, tradisi dan kelangsungan hidup puluhan ribu pesawah kecil di seluruh negara, terutamanya dalam amalan penyimpanan, perkongsian, dan penjualan benih padi.

“Pesawah memberi amaran di bawah pindaan ini, hak pembiak baka korporat akan diperluas secara melampau, manakala hak petani untuk bebas mengguna, berkongsi dan menjual benih daripada hasil tuaian mereka sendiri akan dihapuskan.

“Amalan menyimpan benih untuk kegunaan musim berikutnya, berkongsi dengan jiran, atau menjualnya secara kecil-kecilan—yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian ekonomi dan sosial komuniti pesawah—akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah pindaan ini,” katanya, dalam satu kenyataan.

Pindaan akta itu dijangka dilaksanakan hujung Julai di Parlimen adalah bagi membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa Bagi Melindungi Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 91).

Sedangkan, menurutnya, di Kedah ketika ini hampir 30% pesawah masih melakukan amalan menyimpan, mengguna semula dan berkongsi benih padi setiap musim.  

Langkah turun-temurun itu katanya membolehkan pesawah mengurangkan kos input pertanian yang semakin melambung tinggi dengan tidak perlu membeli benih baharu daripada syarikat setiap kali musim penanaman bermula.

Pesawah yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk memilih benih terbaik daripada tuaian mereka, akan memastikan hanya benih yang berkualiti tinggi dan sesuai dengan keadaan tanah mereka digunakan semula.

“Penjualan benih padi yang telah diproses secara kecil-kecilan kepada pesawah lain menjadi sumber pendapatan sampingan yang amat penting, terutamanya bagi keluarga pesawah yang berpendapatan rendah.

“Penyertaan Malaysia ke dalam UPOV 91 akan memusnahkan ekosistem ekonomi dan sosial ini. Pesawah akan dipaksa untuk membeli benih berdaftar daripada syarikat pembiak baka pada setiap musim,” tegasnya.

Malah, beliau khuatir apabila pilihan pesawah dihadkan dan monopoli dibenarkan berleluasa, syarikat-syarikat ini bebas untuk meletakkan harga yang tinggi, sekali gus meningkatkan lagi kos sara hidup pesawah yang sudah sedia terhimpit. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share