
MELAKA, 1 Mei – PAS dilihat berpotensi meraih kemenangan di sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang, susulan peningkatan sokongan terhadap gagasan Reset Malaysia atau “Payung Besar”, kata mantan Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka, Roseniza Muamad.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada gerak kerja tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menurutnya semakin mendapat penerimaan dalam kalangan rakyat.
“Pendekatan Reset Malaysia ini dilihat semakin mendapat tempat, khususnya dalam kalangan rakyat yang mahukan perubahan kepimpinan serta hala tuju baharu yang lebih meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Roseniza turut berpandangan bahawa kedudukan PN, termasuk PAS, semakin kukuh untuk menambah kerusi, sejajar dengan perubahan sentimen pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tahap kepercayaan rakyat terhadap gabungan PH-BN semakin terhakis apabila beberapa janji pilihan raya lalu didakwa masih belum ditunaikan.
Dalam masa sama, beliau berkata tekanan kos sara hidup yang berterusan turut mempengaruhi sikap pengundi, sekali gus membuka ruang kepada PN untuk menawarkan alternatif yang lebih diyakini.
“Saya yakin rakyat akan membuat pilihan yang lebih tepat demi masa depan yang lebih stabil,” katanya.
Kenyataan itu mencerminkan keyakinan sebahagian pimpinan PN terhadap prospek gabungan berkenaan menjelang pilihan raya, di tengah-tengah landskap politik yang semakin dipengaruhi isu ekonomi dan persepsi terhadap prestasi kerajaan semasa.
Terdahulu, PAS Melaka menetapkan sasaran untuk bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang dijangka diadakan tahun ini.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail, berkata, parti itu sudah membuat ketetapan meletakkan calon berwibawa, berintegriti serta mempunyai latar belakang kepimpinan yang diyakini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.