Penurunan Indeks WPF 26 : Bukti Reformasi Kerajaan Gagal Diterjemah – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 1 Mei 26 – Penurunan kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index 2026 menjadi bukti bahawa agenda reformasi kerajaan masih belum diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kebebasan media, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang merosot ke tangga ke-95 berbanding ke-88 tahun lalu bukan sekadar perubahan angka, tetapi isyarat kepada masalah struktur yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, prestasi Malaysia juga menunjukkan corak tidak konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk turun naik daripada tangga ke-73 pada 2023, jatuh ke 107 pada 2024, kemudian meningkat semula ke 88 pada 2025 sebelum kembali merosot tahun ini.

“Ini membuktikan reformasi yang dicanang tidak berakar dan gagal diterjemahkan secara konsisten,” katanya.

Wan Saiful turut mendakwa ruang kebebasan media di negara ini masih berdepan tekanan, termasuk penggunaan undang-undang terhadap laporan kritikal serta kandungan dalam talian, yang menurutnya mendorong kepada amalan penapisan kendiri dalam kalangan pengamal media.

Beliau turut membangkitkan isu Akta Hasutan 1948 yang didakwa masih digunakan terhadap pihak yang mengkritik kerajaan, sekali gus bertentangan dengan janji reformasi sebelum ini.

Katanya, kegagalan memansuhkan atau menilai semula undang-undang berkenaan menunjukkan jurang antara komitmen politik dan pelaksanaan dasar sebenar.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa kemerosotan kebebasan media bukan sahaja memberi kesan kepada demokrasi, tetapi turut mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap ketelusan dan kestabilan institusi negara.

“Media yang tidak bebas melemahkan fungsi semak dan imbang serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi negara,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menggesa kerajaan menyatakan pendirian yang jelas terhadap kebebasan media, menilai semula undang-undang sedia ada, serta menjamin tiada campur tangan politik dalam operasi media.

Beliau menegaskan kebebasan media bukan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya asas kepada akauntabiliti dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Baru-baru ini, Indeks Kebebasan Media Sedunia menyaksikan Malaysia jatuh tujuh anak tangga, daripada tempat ke-88 tahun lalu ke kedudukan ke-95, penilaian yang diterbitkan ketika pihak berkuasa terus meningkatkan halangan terhadap media dan kandungan dalam talian yang tidak disenangi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Reporters Without Borders (RSF), yang menerbitkan indeks tahunan menilai kebebasan media dan kewartawanan di 180 negara, memberikan Malaysia markah keseluruhan 52.73, lebih rendah daripada 56.09 tahun lalu, sementara ia kekal dalam kategori yang ditakrifkan”situasi bermasalah”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share