
JOHOR BAHRU | 1 Mei 26 – Pencapaian ekonomi Johor yang mencatat kemasukan pelaburan besar dan pertumbuhan kukuh perlu “diterjemahkan” kepada manfaat sebenar rakyat seperti peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta kualiti hidup yang lebih baik.
Pengerusi Penggerak RESET Malaysia (Johor), Datuk Zulkifli Bujang berkata, kejayaan negeri menarik pelaburan berjumlah sekitar RM272 bilion serta mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan merupakan perkembangan membanggakan, namun ia belum cukup jika tidak dirasai secara langsung oleh rakyat.
Menurut beliau, fokus utama kini adalah memastikan limpahan ekonomi tersebut tidak hanya kekal sebagai pencapaian di atas kertas, sebaliknya disalurkan kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
“Pencapaian ini besar, tetapi keutamaannya ialah bagaimana ia diterjemahkan kepada rakyat – sama ada melalui pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan dan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut menyambut baik titah Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan kesejahteraan rakyat dalam agenda pembangunan negeri, termasuk aspek pendidikan, kesihatan dan perumahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Johor sebelum ini mencatat rekod pelaburan tertinggi negara sebanyak RM110 bilion dalam tempoh setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri peneraju ekonomi utama Malaysia.
Zulkifli turut menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh infrastruktur strategik seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura, yang dilihat mampu meningkatkan mobiliti dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Beliau menegaskan, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, setiap dasar ekonomi perlu memberi impak langsung kepada rakyat, bukan sekadar mencerminkan kejayaan angka makro ekonomi negeri.
“Rakyat menilai berdasarkan hasil. Jadi setiap pertumbuhan mesti kembali kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang jelas,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.