Kelemahan Menteri Punca Negara Kurang Jururawat, Dakwa Gerakan

KUALA LUMPUR, 3 Jul 25 – Masalah kekurangan lebih 9,000 jururawat yang dihadapi negara ketika ini berpunca daripada kesilapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sendiri, dakwa Gerakan.

Presiden Gerakkan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) telah mengesahkan masalah mula timbul selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan selepas tahun 2008, apabila kerajaan pada ketika itu memansuhkan elaun kritikal serta menutup beberapa kolej kejururawatan.

Menurutnya, selepas kembali berkuasa di Putrajaya pada tahun 2023, kerajaan Perpaduan pula mengambil keputusan untuk memansuhkan skim pencen dan melanjutkan waktu kerja jururawat.

“Bagaimana menteri boleh menyalahkan kekurangan jururawat sedangkan pelbagai dasar yang tidak mesra petugas dilaksanakan oleh kerajaan sendiri?” soal Dominic.

Jelasnya, sepanjang tempoh Dr. Dzulkefly memegang portfolio tersebut, sistem kesihatan awam tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan, malah semakin merosot.

Dakwanya, semakin ramai jururawat dan doktor mengambil keputusan untuk meninggalkan sektor kesihatan awam dan menyertai sektor swasta, menyebabkan sistem kesihatan awam yang sedia tertekan akibat peningkatan bilangan pesakit menjadi semakin parah.

“Dasar-dasar yang sebelum ini berfungsi dengan baik tidak sepatutnya dirosakkan.

“Walaupun kita lihat beliau cuba menebus kesilapan yang telah dibuat, namun sehingga kini kita masih belum nampak hasil positifnya,” katanya lagi.

Dominic berkata, keputusan Dr Dzulkefly untuk meningkatkan waktu kerja jururawat daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu, juga menyebabkan ramai jururawat telah berhimpun di Putrajaya bagi menyuarakan bantahan.

“Sekarang, apakah hak beliau untuk merungut secara terbuka mengenai masalah kekurangan jururawat yang semakin serius?

“Apa yang sepatutnya dilakukan menteri ialah membetulkan keputusan-keputusan yang silap, agar ketidakpuasan hati jururawat dapat diredakan,” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, Dr Dzulkefly merupakan antara menteri yang paling lemah prestasinya dan paling gagal setakat ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share