PRN Melaka: “Nak Teruskan Gelombang Biru, Kena Bertolak Ansur” – Hamzah

KUALA LUMPUR | 8 Ogos 26 – Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa parti-parti yang mahu meneruskan momentum ‘gelombang biru’ supaya bersedia bertolak ansur dalam pembahagian kerusi, termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Hamzah, setiap parti sememangnya mahu mempertahankan sebanyak mungkin kerusi, namun tuntutan tersebut perlu diseimbangkan dengan kedudukan dan kepentingan parti-parti lain bagi memastikan kerjasama politik dapat diteruskan.

“Kalau kita nak teruskan gelombang itu, kita kena ada sikap bertolak ansur. Ini harus kita lakukan dan kita duduk bersama di antara semua presiden-presiden parti,” katanya.

Hamzah berkata, pembahagian kerusi tidak boleh dilihat hanya berdasarkan kepentingan sesebuah parti atau tertumpu kepada satu negeri sahaja, sebaliknya kedudukan politik di negeri-negeri lain juga perlu diambil kira.

“Betul lah masing-masing nakkan banyak. Tapi bila kita melihat dari segi kedudukan bukan hanya negeri Melaka semata-mata, tapi banyak lagi negeri-negeri lain yang akan kita juga mengambil kira,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan bertolak ansur itu penting sekiranya parti-parti terbabit mahu meneruskan momentum politik yang menurutnya telah bermula di Johor dan kemudian diteruskan di Negeri Sembilan.

“Kalau kita fikir tentang kehendak parti, macam yang saya kata tadi, kalau saya nak pertahankan yang dua, kalau begitu caranya, bagaimana pula dengan kita parti-parti lain,” katanya.

Hamzah berkata, rundingan antara parti perlu dilakukan secara bersama oleh semua presiden parti sebelum sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi dibuat.

Buat masa ini, katanya, belum ada tarikh ditetapkan untuk menentukan rundingan tersebut, namun perkara itu perlu mengambil kira kedudukan politik bukan sahaja di Melaka tetapi juga negeri-negeri lain yang bakal berdepan pilihan raya.

Dalam masa sama, Hamzah menegaskan ‘gelombang biru’ tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha mendapatkan sebanyak mungkin kerusi atau kuasa politik.

“Bukan gelombang biru ni sebenarnya adalah sesuatu untuk memastikan rakyat bersama dengan kita. Sebab agenda yang lebih besar adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sikap bertolak ansur antara parti penting bagi memastikan kerjasama politik tidak terjejas hanya kerana masing-masing mahu mempertahankan kepentingan sendiri.

Perkembangan itu menjadikan pembahagian kerusi antara parti-parti yang mahu bekerjasama bagi menghadapi PRN Melaka antara persoalan utama yang perlu diselesaikan sebelum strategi pilihan raya dapat dimuktamadkan.

Bagi Hamzah, jika momentum ‘gelombang biru’ mahu diteruskan selepas Johor dan Negeri Sembilan, semua pihak perlu bersedia untuk mengutamakan kepentingan bersama berbanding tuntutan parti masing-masing.

Ketika ini, kedudukan kerusi di Melaka di kuasai oleh BN sebanyak 21 kerusi, manakala PH sebanyak 5 kerusi dan PN hanya 2 kerusi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Lagi Ahli MCA Masuk BERSATU

Beliau yakin gelombang sokongan itu akan berterusan dan Ahli Bersekutu akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Bersatu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.
Read More
Total
0
Share