
KUALA LUMPUR | 8 Ogos 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan penyatuan Melayu Islam diperkukuhkan menerusi kerjasama antara PAS, UMNO, Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan NGO Muafakat Nasional (MN), sebagai formula politik untuk menghadapi landskap politik negara.
Dalam kenyataan terbaharunya menerusi ‘Minda Presiden PAS’, Hadi berkata penyatuan Melayu Islam perlu dimulakan dengan parti-parti Melayu terbesar sebelum diperluaskan kepada seluruh masyarakat dalam acuan masyarakat majmuk.
“Maka, ia mesti dimulakan dengan penyatuan Melayu Islam melalui parti Melayu terbesar iaitu gabungan Perikatan Nasional (PAS, Wawasan dan lain-lain) bersama Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan lain-lain),” katanya.
Lebih khusus, Hadi menyifatkan PAS, UMNO dan Wawasan bersama MN sebagai gabungan paling utama dalam usaha tersebut.
“Gabungan paling utama ialah PAS, UMNO dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bersama NGO Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Cadangan itu dilihat membawa dimensi baharu kepada perbincangan mengenai kerjasama politik Melayu apabila Hadi bukan sahaja menyebut PAS dan UMNO, malah memasukkan Wawasan sebagai salah satu komponen utama dalam formula penyatuan berkenaan.
Menurut Hadi, PAS dan Wawasan berada dalam Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO merupakan komponen utama Barisan Nasional (BN), sekali gus menjadikan cadangan tersebut melibatkan kerjasama merentasi dua gabungan politik sedia ada.
Beliau berkata, pendekatan tersebut perlu dimulakan dengan penyatuan umat Islam dalam kalangan rumpun Melayu sebelum diperluaskan kepada masyarakat pelbagai kaum.
Hadi turut merujuk pendekatan Rasulullah SAW yang menurutnya memulakan usaha penyatuan dengan kaum sendiri sebelum membawa gagasan tersebut kepada masyarakat yang lebih luas.
“Rasulullah SAW memulakan perpaduan dengan kaum bangsanya bagi menegakkan kuasa politik Islam mentadbir negara walaupun bermasyarakat majmuk, malah kerasulannya ditujukan kepada seluruh manusia di seluruh pelosok dunia,” katanya.
Beliau berkata pendekatan penyatuan tersebut dilihat relevan dengan keadaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Jika formula yang dicadangkan Hadi itu diterjemahkan kepada kerjasama politik, ia berpotensi membuka ruang kepada penyusunan semula hubungan antara parti-parti Melayu daripada dua blok politik utama, khususnya antara PN dan BN.
Buat masa ini, Hadi tidak menghuraikan secara terperinci bentuk struktur atau mekanisme kerjasama yang dicadangkan antara PAS, UMNO, Wawasan dan MN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.