Isu Peruntukan : “Sesama MP Kerajaan Pun Dianiaya, Inikan Pula Pembangkang” – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 8 Ogos 26 – Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan kerajaan berhubung sekatan akses peruntukan kawasan membabitkan Ahli Parlimen Ampang, Petaling Jaya dan Subang, sambil mendakwa layanan tersebut menunjukkan bagaimana peruntukan rakyat boleh dijadikan alat politik.

Wan Saiful berkata beliau bersimpati dengan nasib tiga Ahli Parlimen berkenaan yang menurutnya berdepan sekatan akses portal MyKhas untuk urusan peruntukan kawasan, walaupun mereka merupakan wakil rakyat daripada parti yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya simpati dengan apa yang menimpa rakan-rakan Ahli Parlimen, khususnya dari kawasan Ampang, Petaling Jaya, dan Subang,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu menimbulkan persoalan kerana ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut bukan wakil pembangkang, sebaliknya berada dalam parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka ini bukannya pembangkang. Mereka ini Ahli Parlimen daripada parti PMX sendiri, yang menang atas tiket kerajaan dan menyokong PMX,” katanya.

Wan Saiful mendakwa sekatan tersebut berlaku susulan perbezaan pandangan, selain mempersoalkan tindakan menggantikan peranan wakil rakyat dengan penyelaras kawasan dalam urusan berkaitan peruntukan.

“Tapi disebabkan perbezaan pandangan, peruntukan untuk kawasan mereka terus disekat tanpa ada alasan yang jelas,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwanya seolah-olah menggantikan Ahli Parlimen dengan penyelaras kawasan dalam pengurusan peruntukan.

“Boleh pula ‘main-main’ gantikan wakil rakyat dengan penyelaras kawasan,” katanya.

Menurut Wan Saiful, perkembangan tersebut memberi gambaran kepada rakyat mengenai cara pentadbiran kerajaan ketika ini, khususnya dalam menguruskan peruntukan kawasan yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk.

“Kalau dengan wakil rakyat sendiri pun sanggup dibuat macam ini, tak peliklah kenapa kami di barisan pembangkang terus dizalimi dan dinafikan hak peruntukan yang adil sejak Kerajaan Madani mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut turut menimbulkan persoalan terhadap slogan reformasi yang sering dibawa kerajaan.

Wan Saiful sebelum itu mempersoalkan mengapa istilah reformasi masih dilaungkan selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran negara.

“Dah jadi kerajaan pun masih nak terjerit-jerit reformasi lagi? Reformasi apa sebenarnya yang nak dibuat? Ataupun barangkali yang dimaksudkan itu ‘reformasi’ nak sekat peruntukan kepada rakyat?” katanya.

Beliau mendakwa pembangkang sebelum ini sering diminta supaya berunding apabila menuntut peruntukan untuk kawasan masing-masing.

“Bila pembangkang minta hak untuk rakyat, jawapan yang diulang-ulang dari dulu cuma satu: ‘Runding, runding, runding.’ Tapi bila tengok apa jadi pada MP Ampang, Subang, dan PJ, bukannya rundingan yang mereka dapat, tapi tekanan dan sekatan,” katanya.

Wan Saiful mendakwa peruntukan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan mekanisme untuk memberi ganjaran kepada wakil rakyat yang menyokong kerajaan atau menghukum mereka yang berbeza pandangan.

“Peruntukan Parlimen dijadikan alat politik ganjaran dan hukuman (carrot and stick), bukannya hak rakyat yang mengundi,” katanya.

Beliau mendakwa pendekatan sedemikian akhirnya memberi kesan kepada rakyat di kawasan Parlimen yang sepatutnya menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

“Slogan reformasi dan keadilan yang dilaungkan dulu hanya sekadar di bibir sahaja. Yang jadi mangsa akhirnya adalah rakyat di akar umbi,” katanya.

Wan Saiful turut mengingatkan kerajaan bahawa tekanan terhadap rakyat dan wakil mereka, menurutnya, boleh mencetuskan reaksi politik yang lebih besar.

“Ingatlah, semakin rakyat ditekan dan diabaikan, semakin kuat rakyat akan bangkit menuntut keadilan,” katanya.

Beliau kemudian mengaitkan perkembangan tersebut dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang menurutnya sudah menunjukkan isyarat keresahan rakyat terhadap kerajaan.

“Isyarat kebangkitan dan keresahan rakyat ini sudah jelas terlihat dalam PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan sebelum ini. Next?” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa baki RM3 juta peruntukan kawasan beliau tidak lagi disalurkan melalui wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Pada masa yang sama beliau mendakwa telah menerima tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya yang memaklumkan permohonan berkaitan kerja kecil dan sumbangan kewangan boleh dirujuk kepada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian.

Selain Lee, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebelum ini turut membangkitkan isu sekatan akses MyKhas, manakala Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pula menjadi perhatian selepas mendakwa berdepan isu sama. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share