
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 25 – Pembangkang masih belum mengenalpasti siapa pemimpin mereka yang wajar diketengahkan untuk menjadi poster boy untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata, terdapat gesaan agar wajah baharu diketengahkan gabungan pembangkang itu bagi menggantikan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pembangkang merujuk kepada blok terbesar iaitu PN sebenarnya masih berpolemik siapa sebenarnya wajar menjadi poster boy bagi PRU akan datang.
“Walaupun Muhyiddin dikatakan menduduki carta popular, namun terdapat suara-suara di dalam PN yang mahupun wajah baharu diketengahkan,” katanya, kepada politiko.my.
Hisomudin berkata, walaupun terdapat gesaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi muka hadapan gabungan, perkara itu belum menerima persetujuan pihak berkepentingan.
“Nama yang disebut-sebut ialah Hamzah, sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah antara nama alternatif yang dinamakan untuk calon perdana menteri.
“Namun begitu, perkara ini belum dibincangkan secara muktamad di dalam parti-parti komponen PN,” kata Hisomudin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.