DNAA Zahid: “Yang Berubah Bukan DNAA, Tetapi Percaturan Politik” – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR | 6 Sep 26 – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pendirian DAP berhubung isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak konsisten, sambil mendakwa perubahan nada parti itu lebih berkait dengan percaturan politik semasa.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat melalui rekod kenyataan dan tindakan DAP selepas Zahid memperoleh DNAA terhadap 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi pada 2023.

Fadhli berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh yang membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berhubung dakwaan bahawa DAP bersikap hipokrit dalam isu berkenaan.

Ramkarpal dilaporkan berkata Mardhiyyah “jelas tersilap dan tidak mengetahui” pendirian DAP terhadap kes Zahid.

Menurut Ramkarpal, jika Mardhiyyah menyemak fakta, DAP telah menyuarakan kebimbangan serius sejurus Mahkamah Tinggi memberikan DNAA kepada Zahid pada 4 September 2023.

Beliau turut merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 5 September 2023 yang menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan mengenai keputusan memohon DNAA tersebut.

Namun, Fadhli berkata kenyataan Loke itu sendiri menunjukkan bahawa pendirian DAP ketika itu bukan untuk membatalkan DNAA atau menarik sokongan terhadap kerajaan.

Sebaliknya, katanya, Loke menyatakan DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, selain mengakui permohonan DNAA merupakan dalam bidang kuasa Peguam Negara, sambil meminta penjelasan mengenai faktor yang membawa kepada keputusan tersebut.

“Kalau inilah yang Ramkarpal namakan ‘tentangan serius’, barangkali kamus politik DAP mempunyai definisi ‘menentang’ yang sangat istimewa,” katanya.

Fadhli turut mempersoalkan tindakan DAP selepas DNAA itu diberikan apabila parti berkenaan terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada 7 September 2023, Naib Pengerusi DAP ketika itu, Nga Kor Ming dilaporkan menegaskan DAP tidak akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan mahkamah membabitkan Zahid.

Nga ketika itu menyifatkan DAP sebagai rakan setia kepada kerajaan dan perjuangannya.

“Kalau DNAA ini benar-benar mencabul prinsip DAP sehingga perlu diungkit sekarang, mengapa ketika itu tidak tarik sokongan? Mengapa tidak letakkan jawatan menteri? Mengapa tidak jadikan DNAA sebagai garis merah?” soal Fadhli.

Beliau turut membangkitkan penglibatan DAP dalam PRK Ayer Kuning pada 2025, apabila DAP Perak menubuhkan Jawatankuasa Gerak Khas bagi membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan.

Menurut Fadhli, perkara itu menunjukkan DNAA Zahid yang berlaku pada 2023 tidak menghalang DAP daripada terus bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya.

Laporan Bernama yang disiarkan Astro Awani pada Mac 2025 mengesahkan DAP Perak menubuhkan jawatankuasa berkenaan untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning.

Fadhli kemudian mempersoalkan di mana sebenarnya wujud tindakan politik DAP yang boleh dianggap sebagai tentangan terhadap DNAA Zahid.

“Bila DAP mengugut menarik sokongan?

“Bila menteri DAP menawarkan peletakan jawatan?

“Bila DAP enggan bekerjasama dengan UMNO kerana DNAA?

“Bila DAP enggan berkempen membantu UMNO?

“Tidak ada,” katanya.

Menurut Fadhli, rekod tersebut menunjukkan bahawa DAP bukan sahaja kekal dalam kerajaan selepas DNAA, malah terus bekerjasama dengan UMNO dalam beberapa keadaan politik.

Beliau seterusnya mengaitkan kebangkitan semula isu DNAA dengan perubahan percaturan politik antara BN dan PN.

“Yang berubah sekarang bukan DNAA Zahid. DNAA itu masih DNAA yang sama. Yang berubah ialah percaturan politik,” katanya.

Fadhli berkata, ketika Zahid dan Barisan Nasional menjadi sebahagian daripada formula pembentukan Kerajaan Perpaduan yang membolehkan DAP berada dalam kerajaan, isu DNAA tidak dijadikan alasan untuk menolak kerjasama politik.

Namun, katanya, apabila hubungan BN dengan PN semakin menjadi perhatian menjelang pilihan raya akan datang, isu DNAA yang berlaku hampir tiga tahun lalu kembali diangkat sebagai persoalan prinsip.

“Ketika Zahid memastikan Barisan Nasional menjadi jambatan untuk DAP berada di Putrajaya, DNAA boleh ditelan.

“Apabila Zahid dan BN mula dilihat boleh menjadi jambatan kepada kerjasama dengan PN, DNAA tiba-tiba menjadi persoalan prinsip,” katanya.

Fadhli berkata, justeru Ramkarpal tidak perlu “mengajar” Mardhiyyah mengenai sejarah kerana rekod tersebut, menurutnya, boleh dinilai berdasarkan kenyataan dan tindakan DAP sendiri.

“Anthony Loke menghormati keputusan mahkamah dan meminta penjelasan. Nga Kor Ming menegaskan DAP tetap menyokong kerajaan. DAP kemudian turun membantu UMNO di Ayer Kuning.

“Kalau persefahaman BN dan PN tidak muncul semula hari ini, saya sangat meragui DNAA Zahid akan tiba-tiba menjadi begitu meresahkan DAP,” katanya.

Fadhli turut menolak label bahawa DAP sekadar hipokrit dalam isu berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, percanggahan antara pendirian terdahulu dengan nada DAP ketika ini menunjukkan parti itu cuba meyakinkan rakyat bahawa mereka sejak awal konsisten menentang DNAA Zahid.

“Itulah penipuan politik: ketika kuasa memerlukan Zahid, DNAA ditelan. Apabila politik mula menjauhkan Zahid, DNAA dimuntahkan kembali,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share