2 Tahun Perintah, Madani Tambah RM285 Bilion Hutang – Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – Dalam tempoh kurang daripada dua tahun pentadbiran kerajaan Madani, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan telah melonjak kepada RM285 bilion.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, hutang langsung kerajaan Malaysia telah meningkat sebanyak RM50 bilion hanya dalam tempoh enam bulan sejak Disember 2024.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan hutang adalah RM1.305 trilion setakat akhir Jun 2025.

Manakala liabiliti kerajaan adalah sebanyak RM384.6 bilion setakat Mac 2025.

“Jumlah keseluruhan hutang kerajaan kini mencecah RM1.685 trilion – iaitu hampir RM1.7 trilion,” kata Hamzah, ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Hamzah juga mempersoalkan kewajaran Anwar menambah hutang pada 2023 dalam keadaan negara tidak lagi berdepan pandemik Covid-19.

“Apakah justifikasi kerajaan Tambun pula bagi penerbitan hutang hampir RM90 bilion pada tahun 2023, ketika negara tidak lagi dalam darurat kesihatan awam?

“Kalau dahulu hutang yang didakwa ‘keterlanjuran’ itu untuk selamatkan nyawa, sekarang hutang Tambun itu untuk selamatkan siapa?,” soal Hamzah.

Ahli Parlimen Larut itu turut mempertahankan penambahan hutang ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini kerana faktor penularan wabak Covid-19.

“Saya nak tegurlah, hutang bukan satu bentuk ‘keterlanjuran’ jika diurus dengan tertib, berhemah dan disalurkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Keterlanjuran” yang didakwa itu adalah sebenarnya yang telah menyelamatkan lebih 150,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang hampir gulung tikar; melindungi jutaan pekerjaan melalui program subsidi upah.

“Ia turut menyediakan bantuan tunai langsung ke tangan rakyat; dan memastikan makanan kekal di atas meja rakyat  ketika ekonomi dunia lumpuh sepenuhnya,” kata Hamzah.

Sedangkan, katanya Akta Tanggungjawab Fiskal menetapkan had statutori hutang tidak boleh melebihi 65% daripada KDNK.

“Apakah ini juga mahu dilabel sebagai keterlanjuran? atau sebenarnya ini adalah kealpaan dan pemborosan yang berselindung di sebalik naratif indah Ekonomi Madani.” @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share