
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 25 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan kritikan pedas terhadap perjanjian perdagangan terkini antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya merugikan kepentingan negara.
Perjanjian itu juga dakwanya tidak seimbang namun kerajaan Malaysia gembira tanpa sebab kerana memberi kelebihan besar kepada Washington selain menjejaskan potensi strategik negara dalam sektor nadir bumi.
Dr Mahathir mendakwa, butiran utama perjanjian yang dikritik ialah AS bersetuju menurunkan tarif ke atas barangan Malaysia daripada 25% kepada 19%, iaitu pengurangan hanya 6%.
Sebagai balasan, Malaysia pula katanya bersetuju menghapuskan semua cukai ke atas 11,000 produk AS yang memasuki negara ini.
“Kita melupuskan 100% cukai untuk 11,000 produk AS, tapi kita hanya dapat pengurangan 6% tarif daripada AS. Itu bukan satu perjanjian yang baik,” kata Dr Mahathir, dalam kenyataan ringkas di media sosialnya.
Sehubungan itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan strategi Malaysia dalam isu nadir bumi, sumber yang semakin kritikal dalam sektor teknologi tinggi dan pertahanan.
“Nadir bumi sebagai bahan mentah hanya memberikan 5% daripada nilai keseluruhannya. Jika kita proses dan mengekstrak elemen di dalamnya, kita boleh dapat pulangan 30 kali ganda,” katanya.
Langkah Malaysia membekalkan nadir bumi mentah kepada AS juga katanya sebagai bodoh dan mengorbankan peluang untuk membina industri berteknologi tinggi dalam negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.