
KUALA LUMPUR, 15 OGos 25 — Umno akan menyampaikan nota bantahan sebagai tanda protes kepada tindakan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang mengizinkan kemasukan ahli daripada Umno ke dalam parti mereka, kata Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf menegaskan, tindakan seumpama itu berupaya mengeruhkan hubungan dalam gabungan parti Kerajaan Perpaduan.
“Umno akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepemimpinan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bercadang mahu pun yang sudah mengizinkan kemasukan ahli daripada Umno ke dalam parti masing-masing.
“Protes ini adalah amaran keras, yang jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti gabungan,” katanya dalam kenyataan.
Pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung di Menara Dato Onn, baru-baru ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai PKR sudah diterima.
Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai ahli MKT, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno sebelum menyertai PKR pada 30 Mei lalu, dan kini diterima sebagai ahli PKR bagi Cabang Ampang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.