
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 25 — Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) Dr Armin Baniaz Pahamin menggesa isu penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH) dijelaskan di Parlimen.
Katanya, ia adalah satu keperluan dalam memastikan ianya benar-benar telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.
“Penjelasan TH bahawa kos hanya RM2 juta setahun tidak menutup persoalan asas yang dibangkitkan rakyat. Isu sebenar ialah amanah dan keberkatan dana umat.
“GEM menegaskan bahawa Menteri Agama dan kerajaan Madani wajib dipertanggungjawabkan untuk memastikan pengurusan TH telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat,” katanya, dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan TH membelanjakan sejumlah RM20 juta untuk tujuan penjenamaan semula tabung pengurusan haji umat Islam negara ini.
TH bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya pada Sabtu berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan disifatkan sebagai fitnah semata-mata.
Sebaliknya, kos sebenar adalah RM2 juta setahun untuk tiga tahun.
“Menteri Agama mesti menjawab secara terus di Parlimen dan tidak boleh bersembunyi di sebalik penafian angka oleh TH semata-mata.
“Dana umat Islam sepatutnya ditumpukan untuk meringankan beban jemaah, bukannya kepada penjenamaan kosmetik yang tidak memberi kesan langsung kepada,” tegasnya.
TH bagaimanapun dalam penjelasannya berkata, pengukuhan jenama itu adalah satu keperluan dan pelaburan penting untuk menarik minat dan mengubah minda umat Islam menabung untuk ibadah haji.
“Dakwaan bahawa TH tidak perlu berusaha memperkukuhkan jenamanya yang dikenali ramai selepas 60 tahun beroperasi juga tidak tepat.
“TH telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini dan langkah itu merupakan pelaburan penting untuk mengubah minda serta menarik minat umat Islam menabung secara sistematik bagi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.