
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 25 — Perkembangan beberapa isu politik berlaku sejak akhir-akhir ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang usaha percaturan kuasa untuk menumbangkan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, ada pihak yakin persetujuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik saman fitnah ke atas satu sama lain pada 22 Julai lalu itu adalah satu “signal” penting ke arah matlamat tersebut.
“Tetapi, oleh kerana politik tetap politik, tidak kira siapa pemainnya, maka timbul cakap-cakap, kalau PH boleh terima Zahid mengapa PN tidak boleh terima beliau?,” kata Kadir.
Beberapa insiden seperti krisis dalaman PKR, lompatan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz daripada Umno ke PKR, kehadiran Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham, bersama Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dalam perhimpunan mempertahankan Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini juga seperti menunjukkan isyarat tersebut.
“Soalannya, adakah ini perancangan sebenar atau sekadar teori dan khayalan musuh-musuh Anwar sahaja?
“Yang percaya kepada teori ‘perdana menteri sementara’ ini melihat dan menguar-uarkan pelbagai petanda bagi membuktikan yang kerajaan Madani akan jatuh atau boleh dijatuhkan,” katanya.
Kata Kadir, sama ada rancangan ini telah mencapai peringkat pelaksanaan atau sekadar teori, Anwar tahu yang ada usaha menjatuhkan beliau sebelum PRU16 ini.
Disebabkan itu Anwar dakwanya. memberi muka kepada Zahid dan Umno, misalnya dengan melantik Naib Presiden Umno, Datuk Johari Abdul Ghani, memangku jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang dikosongkan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Manakala jawatan Menteri Ekonomi yang dikosongkan oleh Rafizi dipangku oleh Menteri Kewangan ll, Amir Hamzah Azizan.
“Ini mungkin bertujuan mengukuhkan ikatan dengan Umno supaya sebarang usaha pembangkang memikat parti itu tidak akan berhasil dan bagi mengubati luka akibat lompatan Tengku Zafrul
“Semalam, 18 Ogos, 12 parti pembangkang bersetuju membentuk pakatan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang mereka dakwa gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Madani, termasuk janji-janji reformasi,” kata Kadir lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.