
KUALA LUMPUR, 17 DIS 25 — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan sentimen yang berlegar di media sosial susulan pengumuman rombakan Kabinet semalam tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara berhemah oleh kerajaan.
Beliau berkata antara sentimen yang mencuri perhatian ialah pelantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang dikaitkan oleh netizen dengan beberapa isu kontroversi terdahulu.
Menurut Asyraf Wajdi, antara perkara yang dibangkitkan di media sosial termasuk dakwaan berkaitan kes kematian pelajar dipercayai akibat buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, selain isu hutang skim pelaburan emas bernilai RM14 juta serta persoalan berkaitan amalan ibadah.
Selain itu, katanya, sentimen rakyat turut menyentuh pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang kedua-duanya diwakili kaum Cina daripada DAP dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat sama ada lantikan tersebut berkait dengan perancangan awal ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi turut memetik sentimen berkaitan pelantikan aktivis PKR, Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, memandangkan beliau sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika era pentadbiran Barisan Nasional.
Menurut beliau, persoalan utama yang dibangkitkan ialah sejauh mana agenda tersebut mampu direalisasikan dalam kedudukan kerajaan ketika ini.
“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen kuat yang berlegar di media sosial sejak pengumuman rombakan Kabinet. Sentimen sebegini perlu ditangani secara bijaksana,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.