FDI Susut Kerana Pelabur Tidak Tanam Semula Modal, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 25 – Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia merekodkan penurunan pada suku kedua 2025 apabila syarikat multinasional (MNC) memilih untuk membawa pulang keuntungan mereka ke negara asal berbanding ‘menanam semula’ modal di negara ini, kata penganalisis.

Memetik laporan Berita Harian, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata penurunan dramatik itu bukan sekadar berpunca daripada aliran keluar modal, tetapi lebih kepada kelemahan aliran masuk baharu.

“Penurunan suntikan ekuiti dan instrumen hutang menjadi punca langsung kemerosotan ini, seperti turut dinyatakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Walaupun ada aliran masuk, jumlahnya tidak mencukupi untuk menampung penghantaran pulang keuntungan syarikat induk di luar negara,” katanya.

FDI katanya masih tertumpu kepada sektor perkhidmatan, khususnya kewangan serta maklumat dan komunikasi, dengan aktiviti pusat data menjadi penerima utama.

Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan yang masuk jauh lebih rendah berbanding suku sebelumnya.

“Penurunan ini menggambarkan ketiadaan pelaburan baharu yang besar, bukan disebabkan faktor luar semata-mata.

“Kesimpulannya, penurunan FDI kali ini lebih kepada kelemahan aliran masuk baharu ditambah dengan repatriasi keuntungan yang akhirnya mengurangkan jumlah bersih FDI negara,” katanya. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share