
KUALA LUMPUR, 29 Jun 25 – PAS mempersoalkan pertimbangan lanjutan pelantikan jawatan tertinggi negara yang dilihat tidak konsisten dan seperti wujud dua standard.
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak dilanjutkan jawatan walaupun menerima sokongan padu rakyat dan dibenarkan oleh Perlembagaan
Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai bantahan termasuk daripada ahli Parlimen, tokoh undang-undang serta aktivis anti-rasuah, telah diberikan lanjutan perkhidmatan sebanyak tiga kali.
“Saya tertanya-tanya – apakah standard yang digunakan dalam membuat pertimbangan? Apakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?
“Saya tidaklah mempersoalkan kuasa perdana menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan ini sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sama ada jawatan Tengku Maimun tidak disambung berikutan kenyataannya seringkali dilihat tidak selari dengan kerajaan.
“Jika ketegasan dan prinsip menjadi sebab ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian menjadi alasan untuk dilanjutkan, maka kita sedang menuju ke arah keruntuhan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara.
“Kerajaan perlu tampil memberi penjelasan secara telus kepada rakyat. Ketelusan bukan lagi pilihan – ia adalah keperluan mendesak dalam menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Hentikan permainan persepsi. Tegakkan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kewibawaan institusi,” katanya.
Tambahnya, sekiranya kerajaan hanya berhasrat untuk berkuasa selama sepenggal, tindakan seperti itu harus dikekalkan.
Atau teruskan sahajalah budaya sekarang, kerana walau apa cara sekalipun, anda hampir pasti tidak akan kekal menjadi kerajaan selepas PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.