
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 25 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan empat penambahbaikan kepada Khazanah Nasional Berhad.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsuddin berkata Khazanah perlu secara proaktif dan berterusan mendidik orang ramai mengenai strategi dan peluang pelaburan melalui VC (modal teroka) termasuk risiko tinggi model ini.
“Laporan tahunan, kenyataan media, dan platform komunikasi lain harus digunakan untuk menjelaskan rasional di sebalik pendekatan portfolio dan jangkaan bahawa akan ada pelaburan yang gagal sebagai sebahagian daripada strategi untuk memacu inovasi.
Tambah beliau, Khazanah juga hendaklah mewujudkan SOP untuk menjalankan analisis pascanilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian yang melebihi had material tertentu.
“Laporan pascanilai ini, yang menggariskan punca kegagalan, kelemahan proses dan cadangan penambahbaikan, wajib dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga dan lembaga pengarah untuk memastikan akauntabiliti dan pembelajaran institusi,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen.
Menurutnya lagi, PAC juga mengesyorkan Khazanah memperkukuh rangka kerja pengurusan risikonya untuk memasukkan analisis senario yang lebih mendalam terhadap kejutan pasaran bukan kewangan.
Perkara itu, katanya, supaya syarikat itu lebih responsif untuk menyusun semula atau keluar daripada pelaburan apabila asas pelaburan berkenaan berubah secara drastik.
Selain itu, katanya, Khazanah dalam laporan berkala kepada MOF setiap suku tahun, juga perlu melaporkan perkara berhubung prestasi pelaburan Khazanah bukan sekadar melaporkan prestasi kewangan.
Hasil daripada siasatan yang dijalankan sebelum ini, PAC telah mendapati kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dalam FashionValet Sdn Bhd berpunca daripada pendekatan strategi omnichannel yang berisiko tinggi.
November tahun lalu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta pada tahun 2018 adalah bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.
Kontroversi tercetus apabila Fashion Valet telah mengalami kerugian lima tahun berturut-turut dan ia menyebabkan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.