
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 25 – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu, bakal memangsakan orang miskin di bandar, dakwa Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, RUU itu sekiranya dilaksanakan bakal menyaksikan bandar hanya dikuasai golongan kaya manakala orang miskin terpaksa keluar dari bandar.
“Kita bantah kerana rakyat jadi keliru. Ada masalah besar. Mana-mana bandar yang lama, bukan sahaja Kuala Lumpur. Seluruh negara. RUU ini kecuali Sabah Sarawak. Selain itu semua terikat.
“Namanya RUU pembaharuan semula bandar. Bandar lama ada dua tiga kategori. Terbengkalai, berisiko keselamatan. Bangunan ini boleh dirobohkan.
“Kesannya org miskin keluar dari bandar. Orang kaya kuasai bandar. Miskin ini bukan Melayu sahaja, Melayu Cina, India. Tambah pula kalau yang menyewa penyewa miskin. Bangunan baru RM1,000,000 setiap bulan kena bayar yuran ‘service apartment’, mana mampu,” katanya, dalam rakaman video dimuat naik di laman media sosialnya.
Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar tuan tanah dan premis diberi pemilikan secara sama rata oleh pemaju.
“Pandangan kita hak tuan tanah diberi hak sama rata. Seunit bagaimana dia dapat. Free. Itu harta dia.
“Pemaju kalau dibuat (bangunan) 30 tingkat berapa banyak dia untung. Dia untung atas rumah pemilik asal yang diroboh,” katanya.
Tegas Tuan Ibrahim,bantahan bukan sahaja diterima daripada PN tetapi juga segelintir wakil rakyat kerajaan.
“Mereka buat gambaran pembangkang tak setuju kita baiki rumah, rumah lama…tiada siapa bantah kerajaan buat rumah baru. Hak tuan tanah mesti dapat seunit bagaimana dia ada. Berapa harga sebagaimana dia dapat.
“Yang bantah bukan PN sahaja. 7 orang (ahli Parlimen) PKR juga bantah. Ramai bantah kerana terlalu tergesa-gesa. Banyak isu kita perlu tengok satu persatu,” tegas Tuan Ibrahim lagi.
RUU itu dibaca buat kali pertama minggu lalu dan akan melalui proses bacaan kedua dan ketiga, seterusnya diluluskan minggu ini.
Pelbagai pihak telah menyuarakan bantahan mereka, hari ini kumpulan Organisasi Sivil (CSO) dan persatuan penduduk menggesa kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU-URA) yang telah dibentangkan minggu lalu di dewan rakyat.
Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa RUU tersebut tidak adil, pincang dari sudut undang-undang serta mencabul hak pemilik harta. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.