
KUALA LUMPUR, 8 Sep 25 – Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli seawal Oktober ini, sekali gus mempercepatkan jadual asal yang sebelum ini diberikan tempoh sehingga enam bulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perincian cadangan itu kini berada di peringkat akhir selepas kementeriannya mengadakan siri libat urus dengan pelbagai pihak termasuk badan profesional dan pertubuhan antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan berkenaan akan dimajukan kepada Jemaah Menteri pada hujung September atau selewat-lewatnya awal Oktober untuk kelulusan.
Azalina menekankan bahawa tribunal yang dicadangkan bukan sekadar mengenakan hukuman berbentuk penjara, sebaliknya turut memberi ruang kepada keadilan restoratif seperti denda atau program pendidikan khas.
“Konsep tribunal ini menekankan pendekatan pemulihan. Kita mahu pastikan isu buli ditangani secara adil, cepat, dan dengan memberi peluang untuk pembelajaran semula,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau turut memaklumkan satu portal khas akan dilancarkan bagi mengumpul pandangan masyarakat sebelum pembentangan di Parlimen.
Menurut Azalina, pengalaman tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual menunjukkan kaedah ini lebih efisien berbanding proses mahkamah biasa, dan model tersebut boleh dijadikan rujukan untuk isu kebulian. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.